Malaysia berjaya bangkit 5 minit terakhir untuk mencatat kemenangan sulung apabila berjaya menewaskan Vietnam 2-1 dalam Kejohanan Kejuaraan Futsal AFC 2018 yang berlangsung di Chinese Taipei.

Dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, kedua-dua pasukan saling bertukar serangan untuk mencari gol awal. Penjaga gol futsal negara beberapa kali berjaya bertindak cemerlang untuk menafikan beberapa peluang yang boleh menghasilkan gol kepada pasukan Vietnam.

Sedikit kelekaan ketika bertahan menyebabkan pasukan Vietnam berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Vu Duc Tung minit ke-19 seminit sebelum separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, Malaysia yang terdesak mencari gol penyamaan meningkatkan tempo permainan dengan asakan demi asakan ke kubu lawan.

Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-36. Permainan dilihat seakan berkesudahan seri 1-1 namun begitu, Awalluddin muncul wira skuad kebangsaan apabila berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir permainan sekali gus menafikan kemenangan pasukan Vietnam.

Malaysia kini berada di kedudukan teratas kumpulan A apabila Chinese Taipei terikat 2-2 dengan Bahrain.

Malaysia akan turun pada 3 Februari ini dan akan menentang tuan rumah, Chinese Taipei pada pukul 7 malam.

Kredit Foto : FB Football Association of Malaysia (Official)