wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Malaysia mendapat hak menganjurkan peringkat separuh akhir perlawanan Hoki Liga Dunia yang menawarkan empat tempat ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlawanan yang bakal berlangsung di Johor Baharu bermula 1 hingga 9 Jun.

“Ia merupakan satu penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada acara berprestij ini yang tidak hanya menampilkan pasukan kedudukan tertinggi malah turut memberi peluang untuk Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 di Belanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda turut merakam penghargaan kepada kerajaan negeri Johor kerana bersetuju menganjurkan acara itu.

“Tidak syak lagi hoki mempunyai peminat yang ramai di Johor dan saya pasti pasukan Malaysia akan mendapat manfaat daripada sokongan yang bakal mereka terima dalam usaha melayakkan diri ke Piala Dunia berdasarkan merit buat pertama kali sejak 1998,” katanya.

Tengku Abdullah berkata Malaysia mendapat peluang itu selepas Jerman, yang merupakan tuan rumah asal peringkat separuh akhir, menarik diri dan FIH menawarkannya kepada Malaysia.

“Banyak pendapat dikemukakan terhadap idea menjadi tuan rumah dan selepas melihat manfaat yang bakal diperoleh pasukan kebangsaan kita, kita membuat bidaan tetapi hanya selepas mendapat persetujuan rasmi Johor.

“Berdasarkan perkembangan ini, Malaysia dikecualikan daripada bermain di pusingan kedua di Rusia pada bulan Mei dan ini memberi peluang terbaik kepada kita untuk cuba melayakkan diri ke Piala Dunia,” katanya.

Kali terakhir Malaysia bermain di Piala Dunia ialah pada 2002 ketika pertandingan itu berlangsung di Kuala Lumpur.  — BERNAMA