Connect with:




Skuad Malaysia Bawah 22 (B-22) tahun negara memulakan kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Filipina 3-0 pada aksi kelayakan Kumpulan J di Stadium Shah Alam, semalam.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu bukan saja mencerahkan peluang untuk mendapatkan slot ke pusingan akhir di Bangkok, Thailand tahun depan, malah ia turut mengubati luka skuad senior yang tewas kepada Singapura 0-1 pada Piala Airmarine di Bukit Jalil, tempoh hari.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri yang hadir sekitar 8,000 orang serta sorokan Ultras Malaya dan dibarisi beberapa pemain skuad senior seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Syameer Kutty Abba jelas menjadi nilai tambah buat skuad negara.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan corak permainan skuad negara berada dikelas tersendiri berbanding Filipina.

Penguasaan skuad muda negara jelas terselah pada awal perlawanan setelah berjaya menjaringkan gol pada minit ke-4 oleh Akhyar Rashid berjaya merembat masuk bola lorongan Syahmi Safari yang menewaskan Micheal Asong.

Akhyar menambah jaringan kedua buat negara apabila kuisan mudah berjaya mengelirukan Asong pada minit ke-31 bagi terus memberikan kegembiraan kepada kem Malaysia.

Pemain gantian Faisal Abdul Halim menembus kehampaannya pada minit ke-83 apabila menjaringkan gol hasil gerakan cantik dan lincah beliau berjaya melepasi kawalan Asong dan William Grierson.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat permainan untuk memberikan tiga mata penuh pada perlawanan sulung buat skuad negara B-23 negara. Skuad negara bakal bertemu Laos esok sebelum pertemuan terakhir yang dijangka lebih sengit ketika menentang China.

Keseluruhan perlawanan cemerlang dengan trio pertahanan yang sangat baik antara Dominic Tan, Syamer Kutty Abba dan Shahrul Nizam yang membuatkan penjaga gol, Haziq Nadzli tidak bekerja keras.

Empat jentera tengah melakukan tugas dengan begitu baik gandingan antara Nik Akif Syahiran, Danial Amier, Dinesh dan Syahmi Safari banyak membantu trio serangan negara, Safawi Rasid, Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid bertindak cemerlang mengasak kubu lawan.

Terdapat perkara-perkara menarik dapat kami kongsikan dalam perlawanan tersebut.

Kehadiran Semula ‘Ekor Harimau’

Seperti yang sedia maklum Piala Airmarine antara skuad senior negara ketika menentang Singapura hanya sekitar dua hingga tiga ribu sahaja ‘Ekor Harimau’ tanpa adanya sorokan daripada Ultras Malaya menyaksikan stadium boleh dikatakan sunyi sepi.

Dikatakan Ultras Malaya memboikot aksi Piala Airmarine 2019 susulan harga tiket didakwa mahal sebanyak RM35 sedangkan setiap aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ sebelum ini hanya RM20.

Pada perlawanan kelayakan AFC B-23, menyaksikan kehadiran semua Ultras Malaya dan ‘Ekor Harimau’ jelas memberi semangat luar biasa kepada skuad muda negara. Sorokan tidak henti-henti membantu meningkatkan motivasi oemain-pemain negara seterusnya berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan sulung.

Pemain Skuad Negara B-23 mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya yang tidak henti-hneti memberi sorokan sehinggan tamat perlawanan.

Dua Gol Akhyar Rashid

Pemain muda yang terlibat dengan kontroversi pada awal musim ini telah berjaya membuktikan ‘tanda harga’ RM12 jutanya apabila cemerlang membantu skuad negara meraih kemenangan. Meskipun jarang mendapat peranan dalam aksi domestik namun pengalaman yang diraih ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini membolehkannya tampil dengan permainan menyakinkan di pentas Asia sehingga berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama.

Bukan Hari Hadi Fayyadh

Perlawanan ini jelas bukan malam yang indah buat Hadi Fayyadh apabila beliau banyak terlepas peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Pemain yang beraksi di Liga 2 Jepun bersama kelab Fagiano Okayama masih menjadi harapan Datuk Ong Kim Swee setelah cemerlang membantu skuad B-22 negara dalam saingan Piala AFF B-22 di Kemboja, Februari lalu.

Bantuan Syahmi Safari

Syahmi Safari banyak memberikan masalah buat pertahanan Filipina B-23 dari sebelah kanan dengan larian pantasnya. Dia turut menyumbang satu bantuan gol buat Akhyar Rasyid untuk gol pertama. Banyak hantaran yang dilakukannya ketika melakukan serangan tetapi sedikit kurang bernasib baik kerana gagal diterjemahkan dengan jaringan gol oleh penyerang.

Foto : Dunia Sukan/ Seiran Rosli