Malaysia sekali lagi diberi penghormatan menganjurkan Kejohanan Ragbi  5 Negara Asia HSBC 2012, membabitkan Divisyen 2 & Divisyen 3 yang dijadual berlangsung dari 30 Mei hingga 2 Jun depan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan membabitkan 8 pasukan ini yang memasuki edisi kelima selepas 2009, dengan juara setiap divisyen akan layak beraksi di play-off bagi merebut tempat ke Divisyen 1, seterusnya menghidupkan peluang untuk beraksi di Piala Dunia Ragbi 2015.

Malaysia, Thailand, Iran dan China membarisi Divisyen 2, manakala India, Guam, Indonesia dan Pakistan melengkapkan saingan bagi Divisyen 3.

HSBC merupakan penaja utama Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia sejak ia diperkenalkan pada 2008, dan sudahpun menyatakan komitmen untuk memberi sokongan berterusan di dalam membantu pembangunan sukan ragbi di Asia.

Pada sidang media kejohanan itu tengah hari tadi, Ketua Unit Jualan dan Pengedaran Perbankan Runcit HSBC, Jon Chivers berkata : “kami agak teruja untuk memainkan peranan penting di dalam mengembangkan sukan ragbi di setiap peringkat di rantau Asia, komitmen kami tidak pernah pudar, kami berbangga terlibat sama melabur untuk membangunkan sukan ini.” 

Ahli Majlis Kesatuan Ragbi Asia (ARFU), Hisham Rahman, pula berterima kasih di atas kepercayaan diberikan kepada MRU untuk menganjurkan kejohanan terulung ini, dan juga di atas sokongan ditunjukkan HSBC.

“Kita sedar Ragbi bukan kategori sukan popular seperti bola atau hoki yang mana peminatnya ramai, tapi situasi ini semakin berubah sejak 5 tahun lalu, HSBC telah menaikkan imej sukan ragbi khususnya melalui pembangunan di peringkat akar umbi, seterusnya menarik peminat-peminat baru untuk mengikuti perkembangan sukan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Datuk Wira Amirudin Embi berkata kekecewaan tersingkir ke divisyen dua tahun lalu mahu ditebus dengan sasaran muncul juara tahun ini, dan beliau mempunyai keyakinan penuh pasukan ragbi negara dapat melakukannya.

“Objektif kita adalah muncul juara dan kelebihan sebagai tuan rumah perlu digunakan sebaik mungkin sebagai medan untuk menaikkan semula martabat pasukan ragbi kita yang merosot, dengan barisan pemain yang kita ada, saya percaya kita di landasan tepat untuk merealisasikannya,” katanya kepada pemberita.

Malaysia sebagai pilihan utama Divisyen Dua dijadual bertemu China dalam perlawanan separuh akhir pada Khamis, 31 Mei, manakala Thailand akan menentang Iran dalam satu lagi perlawanan.

Senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran negara akan diketahui selewat-lewatnya pada 30 Mei, dengan Jurulatih, Boon Hoon Chee berkata penilaian sedang dilakukan bagi memilih barisan 25 pemain terbaik daripada 40 pemain yang sedang mengikuti latihan pusat di Kompleks Sukan COBRA.

Match fitness adalah cukup mustahak, sebab itulah kita buat kejohanan selepas berakhir saingan Liga Super dan Piala Super, pemain semua dalam keadaan cukup cergas, dan motivasi mereka juga sangat tinggi untuk membawa Malaysia muncul juara Divisyen 2. Siapapun pemain yang dipilih, saya mahu mereka buktikan mereka adalah yang terbaik.”