Connect with:




Pemain pertahanan tinggi lampai Liverpool, Virgil Van Dijk mengakui cukup lega Liverpool tidak tewas setelah dia menghadiahkan penalti kepada penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, pada babak terakhir perlawanan malam tadi di mana Riyad Mahrez gagal menyempurnakan sepakan.

Sepakan penalti yang diterima City umpama ‘hadiah’ lumayan untuk keluar sebagai pemenang pada perlawanan itu setelah Leroy Sane dijatuhkan Van Dijk di dalam kotak penalti lima minit sebelum wisel penamat.

Namun Mahrez yang memegang rekod  sebagai pemain termahal kelab The Citizen itu menyepak tinggi melepasi palang sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa akur berkongsi mata.

“Memang kurang bijak untuk menjatuhkan lawan di situ (kotak penalti) dan pasukan terpaksa menanggung akibatnya.

“Ya, jelas ianya penalti dan saya melakukan kekasaran ke atas Leroy (Sane) tetapi sejujurnya saya gembira Mahrez gagal menyempurnakan tugas beliau, ianya umpama dia menebus silap saya,” katanya berseloroh.

Van Dijk memberi tahu bahawa beliau menyaksikan sepakan itu malah bukan seperti sesetengah pemain yang melakukan kesilapan sepertinya lalu memilih untuk tidak melihat sepakan yang diambil lawan.

“Saya sudah melakukan kesilapan dan saya ingin menebusnya segera.Saya melihat sepakan itu dan bersedia untuk bertindak balas jika bola muntah namun Mahrez memilih untuk menghantar bola itu melepasi palang dan secara keseluruhan mereka beraksi bagus begitu juga dengan kami sehinggalah ke detik kesilapan saya menghadiahkan penalti.

Dalam pada itu pengendali Manchester City, Pep Guardiola, tampil mempertahankan Mahrez apabila mengambil tanggungjawap sepenuhnya kerana memberi kepercayaan kepada pemain kebangsaan Algeria itu untuk mengambil sepakan pada saat genting menentang Liverpool semalam.

Ketika City dihadiahkan sepakan penalti, Guardiola mengarahkan Gabriel Jesus yang masuk menggantikan Sergio Aguero untuk memberikan bola kepada Mahrez, namun rekod buruk empat kali gagal daripada enam sepakan yang diambil Mahrez terus berlarutan.

“Saya melihat beliau (Mahrez) melakukan latihan sepakan penalti setiap hari, itu memberikan keyakinan buat saya untuk memberi kepercayaan kepada dia dan mengenai keputusan hari ini (semalam), ianya tanggungjawap saya sepenuhnya.

“Satu perlawanan yang seimbang bagi saya dan jika ia perlawanan terbuka di Anfield, anda tidak akan mendapat satu peratus pun peluang.

“Di atas dan bawah mereka adalah pasukan terbaik dunia. Bermain dalam keadaan itu tiada siapa yang lebih bagus. Mereka dibina untuk itu, Jurgen (Klopp) membinanya untuk itu. Dalam situasi itu mereka jauh lebih baik berbanding kami,” jelas Guardiola lagi.