Tidak berada dalam senarai sukan teras di Malaysia tidak menjadi penghalang buat kriket untuk berkembang dan menghasilkan keputusan membanggakan. Persatuan Kriket Malaysia (MCA) tidak ketandusan dalam merangka pelbagai program sehinggakan boleh dianggap sebagai antara persatuan sukan paling aktif dan dinamik di Malaysia.

Antara tunjang belakang dalam kebangkitan MCA adalah hasil kerja keras presidennya, Mahinda Vallipuram. Krebiliti kepimpinan beliau bukan hanya terhad di dalam negara malah telah diiktiraf dunia selepas dilantik menjadi salah seorang Pengarah Bersekutu Lembaga Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

Di bawah Mahinda, MCA benar-benar bergerak dengan proaktif. Malah, kriket dunia mula memberi pengiktirafan terhadap kriket di Malaysia.

“Saya sangat berbangga apabila Majlis Kriket Dunia (ICC) dan Majlis Kriket Asia (ACC) mengakui keupayaan Malaysia dalam mengendalikan kejohanan-kejohanan besar. Ia menunjukkan mereka yakin dengan MCA.

“Ini tidak akan dapat dicapai jika saya bekerja berseorangan. Ini semua hasil kerjasama dengan para pegawai termasuk di peringkat negeri” tambahnya.

MCA di bawah Mahinda juga menyaksikan peranannya dalam membangunkan kriket di Asia Tenggara. Mahinda berusaha keras memasukkan kriket dalam Sukan SEA yang lalu dengan Malaysia, Singapura dan Thailand masing-masing memenangi emas dari 3 emas yang ditawarkan.

Mahinda turut memberitahu, kesan terhadap penganjuran kriket di Sukan SEA membawa sukan tersebut menerima tempias yang hebat dikalangan negara-negara Asean.

“Kami (negara-negara Asean) telah tubuhkan satu jawatankuasa dan hasilnya, kita akan adakan kejohanan wanita peringkat Asia Tenggara di Bangkok serta T20 lelaki di Malaysia.

Menyentuh mengenai rahsia Mahinda dalam menguruskan MCA, beliau berkata persatuan sukan seharusnya diuruskan seperti sebuah entiti korporat atau perniagaan. Hanya dengan cara sedemikian, matlamat persatuan dapat dicapai.

“Saya selalu membayangkan MCA seperti sebuah kilang perusaharaan. Perlu adanya pengurus, ada proses. Kita mahu dapatkan pemain-pemain terbaik untuk mewakili negara, maka kita perlu ada kelompok pemain yang besar.

“Disini perlunya peranan semua yang terlibat dengan kriket baik dari kelab, negeri atau komuniti. Ia satu organisasi yang besar, seperti sebuah entiti korporat yang besar.

“Sekarang ini kita sudah ada beberapa pengurus untuk menguruskan kepakaran masing-masing seperti pemasaran, pentadbiran dan sebagainya. MCA juga ketika ini mempunyai 26 orang pekerja sepenuh masa dan kita akan tambah lagi pada masa hadapan.

“Apa yang ingin saya buktikan disini adalah pengurusan sesuatu persatuan perlu dilihat seperti menguruskan perniagaan. Semua perlu memahami dan berkembang. Jika kita masih lagi dengan corak pengurusan lama, ia tidak akan membawa kemana-mana.

Satu perkara yang harus diketahui ramai adalah potensi kriket sebagai sukan kedua ditontoni paling ramai di dunia selepas bolaepak. MCA telah lama sedia maklum akan perkara ini dan mereka kini giat untuk mengkomersialkan kriket Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Peluang sangat besar untuk penaja terutamanya yang ingin melihat produk atau servis mereka masuk ke pasaran Asia, India atau Asean. Sebagai contoh, streaming siaran langsung semasa Sukan SEA dan kejuaraan bawah 19 tahun Asia tahun lalu telah mendapat lebih 300,000 di platform facebook. Bayangkan jika dicampur dengan platform lain seperti televisyen.

“Bagi saya, untuk mencapai tahap komersial seperti di India, kita masih jauh tetapi potensi tetap ada. Buktinya sebelum ini kita mendapat penajaan dari syarikat-syarikat besar seperti IJM, Sunway, Binwanis dan Milo.

Antara pelan yang dirangka Mahinda adalah membawa konsep francais di Liga Premier Malaysia seperti yang dilakukan Liga Super India.

“Kita ada aset iaitu liga dan pasukan kebangsaan yang kini menduduki tangga ke-26 dunia. Malaysia tidak asing lagi dengan kriket dunia. Ramai bintang dunia pernah bermain di sini.

“Kehadiran mereka dalam saingan liga seperti yang dirancang ini pastinya mampu menarik lebih ramai penonton” jelas Mahinda yang percaya nilai komersial kriket Malaysia mampu memberi nilai pulangan lumayan kepada penaja.