Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram menjadi rakyat Malaysia kedua selepas Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar diberi penghormatan untuk menduduki jawatan sebagai Pengarah Bersekutu Lembaga Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

MCA, dalam kenyataan hari ini, berkata Mahinda menerima undi majoriti pada pemilihan dalam talian, Jumaat lepas, untuk menyandang jawatan dalam badan sukan induk dunia itu bagi menggantikan wakil Ireland, Ross McCollum, yang melepaskan jawatan selepas negaranya di beri status negara elit (Test).

Ireland dan Afghanistan merupakan negara ke-11 dan 12 diberi status Test oleh ICC semasa persidangan tahunan badan dunia itu di London pada Jun lepas.

Selepas kemenangan dalam pemilihan itu, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mempunyai dua wakil di peringkat tinggi sehingga kini, selepas Tunku Imran, bekas presiden MCA dan penaung, memegang jawatan itu selama sembilan tahun.

Sebagai anggota yang dilantik dalam lembaga ICC, Mahinda kini mempunyai peluang membawa beberapa masalah ahli bersekutu global seperti soal pembangunan untuk pemain lelaki dan wanita serta kemasukkan acara kriket dalam temasya sukan seperti Sukan Asia dan Olimpik pada mesyuarat lembaga itu di Auckland, New Zealand, bulan depan.

“Saya juga berpeluang untuk menyertai pelbagai platform pembangunan dan bagaiana ia dapat membantu kriket ke hadapan kerana ini semua sentiasa diambil berat oleh ahli-ahli.

“Ia satu tanggungjawab yang besar untuk mengisi posisi ini apatah lagi Tunku Imran telah menjalankan tugas yang baik sepanjang beliau berkhidmat dengan ICC” jelas Mahinda.