Moses Magogo yang merupakan orang nombor satu Persatuan Bola Sepak Uganda disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan terbabit dalam kes penjualan tiket haram pada Piala Dunia 2014.

Ketua badan induk negara itu didakwa kerana menjual tiket percuma yang diperuntukkan kepada Uganda.

“Kami menerima maklumat FIFA mengenai tuduhan dibangkitkan dan pasukan perundangan saya sedang menyelesaikan masalah ini,” kata Mogogo kepada AFP selain mengesahkan dakwaan itu.

Siasatan timbul selepas Ahli Parlimen Uganda, Allan Ssweanyana melaporkan kepada FIFA dengan dakwaan Magogo menjual tiket 177 tiket yang diperuntukkan untuk Uganda kepada seorang ejen di Amerika Syarikat, Mei lalu.

Walau bagaimanapun, Magogo bersedia mempertahankan jawatannya selepas persatuan berkenaan membatalkan penyertaan pencabarnya menjelang pemilihan pada 5 Ogos ini.