DUNIA SUKAN

Buat tahun ketiga berturut-turut, Andrea Guardini sekali lagi merupakan antara bintang yang akan memeriahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 , tetapi kali ini, dia datang bersama Pro Team Astana, bukan lagi dengan pasukan Pro Continental, Farnese Vini.

Guardini berkata Le Tour de Langkawi merupakan “perlumbaan yang amat dekat di hati saya”.

“Saya sukakan kehangatan negara ini dan rakyatnya. Keseluruhan suasana perlumbaan ini memberi rangsangan hebat kepada saya. Apabila saya berbincang tentang kontrak baharu saya dengan Astana, tidak sukar untuk mencapai persetujuan kerana hakikatnya saya akan mengambil bahagian dalam Le Tour de Langkawi sekali lagi.

“Pihak pengurusan pasukan dengan terus terang menyatakan kepada saya bahawa perlumbaan ini sangat penting bagi Astana, kerana kami merupakan satu-satunya Pro Team dari Asia,” kata Guardini dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur perlumbaan di sini hari ini.

Penunggang berusia 23 tahun dari Itali ini merupakan penunggang pertama yang merangkul kemenangan dalam enam peringkat pada edisi tahun lepas dan penunggang yang paling banyak meraih kemenangan dalam sejarah LTdL iaitu 11 kemenangan.

Bagaimanapun, Guardini berkata dia sedar cabaran lebih sengit yang terpaksa dihadapi pada LTdL 2013 berikutan penyertaan lebih banyak pasukan Pro Team.

Antara pasukan itu ialah Team Europcar, yang akan menurunkan bintang baharu mereka, Bryan Coquard, seorang lagi jaguh pecut dalam pembikinan berdasarkankemampuannya memenangi pi ngat perak bagi kategori omnium pada Olimpik London.

“Latar belakang berlumba di trek merupakan satu bonus besar dalam acarapecut,” kata Guardini, bekas juara Eropah bagi kategori keirin.

Selain Guardini, Astana juga dibarisi pelumba muda dan juara dunia bawah 23 tahun dari Kazakhstan, Alexey Lutsenko, Fabio Aru (Itali) dan tiga lagi penunggang Kazakstan – Alexandr Dyachenko, Arman Kamyshev serta Ruslan Tleubayev.

Astana diurus Alexandre Vinokourov, yang mengundur diri daripada arena perlumbaan selepas memenangi pingat emas dalam acara jalan raya pada Olimpik London.

“Sungguh bertuah melihat Vinokourov kembali ke sini. Semangatnya yang penuh membara memberi inspirasi kepada budak-budak yang kini menyertai lumba basikal,” kata ketua pegawai operasi LTdL Emir Abdul Jalal.

Edisi LTdL ke-18 ini mengandungi 10 peringkat, dengan jarak sejauh 1,427.6 kilometer. – BERNAMA