Connect with:




Penyerang Southampton, Shane Long mencipta rekod baharu bagi jaringan terpantas dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan gol selepas 7.69 saat permainan bermula. Long menghasilkan jaringan itu semasa menentang Watford di Stadium Vicarage Road yang berkesudahan seri 1-1.

 

Kesilapan pertahanan Watford, Craig Cathcart yang gagal membuat hantaran sejurus sepak mula membawa padah apabila Long menampan bola selepas menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol Watford, Ben Foster.

Jaringan Long itu juga telah memecahkan rekod yang dipegang oleh pemain pertahanan Tottenham Hotspurs, Ledley King iaitu 9.9 saat ketika menentang Bradford pada Disember 2000. Turut tersenarai dalam lima penjaring terpantas EPL adalah Alan Shearer, Mark Viduka dan Christian Eriksen.

 

Alan Shearer mencipta jaringan pada 10 saat ketika menentang Manchester City ketika mewakili Newcastle United. Semasa sepak mula, pemain City menghantar bola ke penjaga gol, Carlo Nash. Ia adalah rutin buat Nash untuk melakukan hantaran jauh mencari pemain-pemain City. Namun clearance yang kurang kemas daripada Nash menyebabkan Shearer berjaya merampas bola dan menolak masuk ke gawang yang kosong.

Selain itu Mark Viduka juga antara salah seorang pemain yang pernah melakukan jaringan terpantas, iaitu 11 saat ketika menyarung jersi Leeds United. Jaringan itu dilakukan Viduka semasa menentang Charlton Athletic yang berkesudahan 2-1 berpihak kepada Leeds.

Bermula daripada sepak mula, David Batty melakukan hantaran kepada Ian Harte yang terus melakukan hantaran jauh yang tampak seperti tidak mengancam kubu Charlton. Namun Alan Smith berjaya menguis bola ke arah Viduka yang kemudiannya memerlukan satu sentuhan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Sasa Ilic untuk meletakkan Leeds di hadapan.

Mark Viduka berkongsi kedudukan bersama perancang tengah Spurs, Christian Eriksen yang berjaya mencipta jaringan 11 saat semasa menentang Manchester United pada tahun Januari 2018. Jaringan itu bermula apabila Spurs memulakan sepak mula dan menghantar bola ke bahagian pertahanan.

 

Bola itu terus dihantar ke hadapan mencari Harry Kane namun berjaya disentuh oleh pertahanan United dan jatuh dihadapan Dele Alli sebelum menguis bola ke belakang untuk Eriksen menyepak masuk menewaskan David de Gea di gawang United.

Itu antara lima penjaring terpantas dalam sejarah EPL yang berjaya mencipta rekod. Mungkin selepas ini aka nada rekod baharu yang dapat mengatasi rekod yang kini dipegang oleh Shane Long dengan 7.69 saat.

Foto : Sportskeeda