Connect with:




“Kita kembali sebagai satu kuasa besar di peringkat Eropah!”

Demikian luahan pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp selepas  anak buahnya menyingkirkan Bayern Munich 3-1 untuk layak ke aksi suku akhir Liga Juara-juara, awal pagi tadi.

Bayern Munich yang melayan kunjungan Liverpool di Allianz Arena tidak dapat memanfaatkan jaringan penyamaan selepas Sadio Mane dan satu menerusi Virgil van Dijk melenyapkan impian penyokong tuan rumah.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan mereka menyertai Manchester City, Manchester United serta Tottenham Hotspur dalam saingan lapan terakhir manakala tiada wakil Jerman buat pertama kali sejak 11 tahun lalu.

“Ini adalah suatu kemenangan yang besar buat kelab di peringkat Eropah dan saya sangat gembira,” kata pengurus Jerman itu.

“Jika Barcelona atau  Real Madrid datang ke sini, mereka tahu ini adalah tempat yang sukar untuk menang.

“Kami kini kembali dalam landskap bola sepak yang besar. Ia sebahagian daripada pelan ketika kami memulakan projek. Kami masih ada ruang untuk pembaikan tetapi menewaskan Bayern di sini satu pencapaian besar.”

“Kami fikir tahap kelab ini sepatutnya dimana dan kami teruskan. Kami banyak belajar, banyak memperbaiki pelbagai perkara tetapi kami kembali.”

Sementara itu, pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, mengakui pasukannya sememangnya layak disingkirkan Liverpool dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) .

“Kami berdepan lawan yang sukar dan tahniah kami ucapkan buat The Reds dan Klopp.

“Mereka pasukan yang lebih baik dalam kedua-dua perlawanan dan kami memang sepatutnya kalah. Pihak lawan menekan kami dengan corak menyerang dan mereka tidak memberi sebarang ruang.

“Keadaan itu menyukarkan kami, ia bukanlah hari yang baik buat kami. Liverpool adalah pasukan terbaik di Eropah dan mereka membuktikan kelemahan kami,” katanya. -AFP

Foto: Liverpool FC