Connect with:




Ketiadaan pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk akibat digantung satu perlawanan dijangka akan membuat barisan pertahanan Liverpool goyah apabila berdepan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara.

Van Dijk digantung perlawanan untuk aksi 16 terakhir awal pagi rabu ini selepas mengutip tiga kad kuning ketika melepasi peringkat kumpulan hasil perbezaan jaringan berbanding Napoli.

Berbeza dengan prestasi di Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool hanya tewas sekali musim ini, namun anak buah Jurgen Klopp tewas kesemua tiga perlawanan di tempat lawan menentang Napoli, Paris Saint-Germain dan Red Star Belgrade.

Sejak kehadiran van Dijk, Liverpool masih belum tewas dalam 25 perlawanan Liga Perdana serta Liga Juara-Juara di laman sendiri ditambah dengan 16 perlawanan tanpa bolos.

Selain pemain bernilai 75 juta pound (RM395.1 juta) itu, Liverpool turut kehilangan khidmat Joe Gomez dan Dejan Lovren akibat kecederaan.

Dijangka Joel Matip akan bergandingan dengan Fabinho di bahagian pertahanan tengah untuk menyekat bekas anak didik Klopp, Robert Lewandowski.

“Sejak bertahun-tahun dulu saya banyak menonton perlawanan Bayern termasuk musim ini juga”, kata Klopp kepada Sport24.

“Mereka adalah juara enam kali berturut-turut di Jerman, ia bukan sesuatu yang mudah dan mereka salah satu daripada pasukan yang sering berada dalam aksi suku akhir, separuh akhir dan final Liga Juara-Juara sejak 10 tahun lalu”.

Foto : LiverpoolFC.com