Connect with:




Pujian menggunung dihadiahkan buat Sadio Mane dan Virgil Van Dijk apabila kedua-duanya menjaringkan dua gol buat Liverpool menewaskan Watford, 5-0 sekaligus mengekalkan kedudukan liverpool sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang Senegal, Mane memulakan ‘pesta’ gol terlebih dahulu pada minit kesembilan menerusi tandukan dari hantaran Trent Alexander-Arnold.

Dia menambah lagi kegembiraan buat The Reds selepas mencetak gol menarik hasil hantaran Alexander-Arnold yang bijak mengawal bola pada minit ke-20.

Divock Origi melebarkan penguasaan Liverpool menerusi jaringan pada separuh masa kedua diikuti dua jaringan lewat permainan oleh pemain pertahanan Virgil van Dijk untuk memastikan kemenangan selesa tuan rumah.

“Ini adalah corak permainan yang saya mahukan,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp kepada pemberita selepas meraikan kejayaan dengan pemain dan peminat di padang.

“Kami menentang Bayern dan kemudian United … tetapi ia sentiasa menunjukkan peningkatan,” kata Klopp.

“Kami mahu bermain seperti ini setiap hari.”

Sebelum ini, Liverpool yang gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir menentang Bayern Munich di Liga Juara-Juara dan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris dilihat bergelut untuk menjulang Liga Perdana Inggeris.

Kini, Liverpool kekal di tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata dari Manchester City yang mengumpul sebanyak 68 mata selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham United pada Rabu.

Sementara itu,  pengurus Watford Javi Gracia meluahkan rasa kecewa dengan pemainnya yang gagal mengatasi skuad Klopp.

“Ia adalah permainan yang sangat mencabar,” kata Gracia.

“Mereka menguasai permainan, mereka mencipta lebih banyak peluang. Mereka berhak mendapat kemenangan. ”

“Ia adalah hari yang buruk bagi kami, tetapi ianya tidak mengubah keyakinan saya dengan pemain saya,” katanya.

Foto: Liverpool FC