Berita baik menemui para peminat sukan permotoran apabila penganjur Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) mengumumkan venue berprestij, Litar Antarabangsa Suzuka akan diperkenalkan dalam kalendar perlumbaan 2013, sekaligus menjadi litar Jepun kedua memainkan peranan selaku hos ARRC selain Litar Autopolis yang terletak di Wilayah Oita.
Bermula di Litar Sepang (18-21 April) diikuti Litar Sentul di Indonesia (16-19 Mei) dan Litar Antarabangsa Madras di India (11-14 Julai), Litar Suzuka bakal menjadi venue Pusingan 4 dari 29 Ogos hingga 1 September sebelum beralih ke Litar Autopolis pada minggu berikutnya (4-8 September).
Sementara itu, Litar Antarabangsa Losail, Qatar kekal sebagai tuan rumah saingan penutup musim (20-23 November).
“Kami cukup berbangga kerana Litar Suzuka turut berada dalam kalendar ARRC pada tahun ini. Litar ini merupakan antara litar terbaik di dunia, dan begitu mencabar untuk perlumbaan motosikal. Sesuatu yang sangat menarik apabila dapat melihat saingan SuperSports 600cc, Underbone 115cc dan Piala Impian Asia dapat dilangsungkan di sini,” kata Ron Hogg, Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, promoter acara ARRC.
“Kami percaya semua pasukan dan pelumba cukup teruja dapat beraksi di Suzuka. Sama seperti di Autopolis, suasana di sini cukup meriah dan begitu ramai peminat. Ini adalah peluang promosi yang cukup baik bagi Kejuaraan dan rakan-rakan penaja dengan kehadiran pelumba-pelumba hebat di padok ARRC.”
“Tambah menarik, dua perlumbaan berturut-turut dalam tempoh dua minggu dari Litar Suzuka ke Autopolis juga merupakan pengalaman baru buat semua pasukan dan pelumba-pelumba. Selain Suzuka, tahun ini kontinjen ARRC turut berpeluang untuk berlumba di Litar Madras sekali lagi yang baru sahaja dinaik-taraf,” tambah Ron.
Terletak di dalam Wilayah Mie, Litar Suzuka kaya dengan sejarah sebagai pusat sukan permotoran Jepun. Berkeluasan 5,821 meter panjang, litar ini memainkan peranan sebagai tuan rumah kepada banyak acara berprestij seperti FIM Suzuka 8-Hour Endurance Road Race dan beberapa acara perlumbaan empat roda termasuk Formula Satu.
Kalendar ARRC 2013
Ujian rasmi 21 & 22 Februari
Pusingan 1 Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia 18-21 April
Pusingan 2 Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia 16-19 Mei
Pusingan 3 Madras Motor Race Track, India 11-14 Julai
Pusingan 4 Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun 31 Ogos – 1 September
Pusingan 5 Litar Antarabangsa Autopolis, Jepun 4-8 September
Pusingan 6 Litar Antarabangsa Losail, Qatar 20-23 November