Pelumba-pelumba MotoGP dunia akan kembali berkampung di Litar Lumba Sepang untuk menguji jentera motor masing-masing sebelum bermulanya kalendar MotoGP 2012 pada 31 Januari ini dalam sesi ujian rasmi MotoGP 2012.

Kehadiran para pelumba terhandal dunia ini sudah pasti akan mengimbas kembali detik hitam yang melanda sukan lumba motosikal pada tahun lalu apabila pelumba San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli, maut dalam kemalangan semasa perlumbaan MotoGP Malaysia 2011 di litar Sepang, Oktober tahun lalu.

Namun, kejadian malang itu tidak menghalang Litar Sepang untuk terus dipilih sebagai medan untuk sessi ujian rasmi pertama MotoGP 2012 yang akan diadakan pada 31 Januari hingga 2 Februari 2012 dan sessi ujian kedua MotoGP pada 28 Februari hingga 1 March 2012.

“Perlumbaan MotoGP 2012 akan bermula di Sepang dengan Sessi Ujian Rasmi sebanyak 2 kali dan MotoGP 2012 pada tahun kali ini akan menjanjikan aksi-aksi yang lebih menarik dengan persaingan yang lebih hebat”, ujar Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali, Ketua Pegawai Executive, Sepang International Circuit (SIC).

“Pelumba pujaan ramai, Valentino Rossi yang akan bersama pasukan Ducati untuk tahun kedua, Juara bertahan MotoGP, Caser Stoner dari pasukan Honda juga akan berada di Sepang untuk menguji jentera masing-masing”, tambah Datuk Razlan

Sementara itu SIC dalam perutusan medianya berkata, reputasi litar, bentuk dan aspek teknikal litar serta tahap keselamatan yang tingggi Litar Sepang antara punca mengapa litar ini dipilih sebagai medan untuk sessi ujian MotoGP 2012.

Sesi ujian MotoGP 2012 kali ini juga dilihat menarik apabila 21 pasukan baru CRT- Claiming Rule Team akan menguji jentera masing-masing. Antara pasukan-pasukan tersebut ialah Edwards (Forward Racing), Danilo Petrucci (Ioda Racing Project), Anthony West (Speed Master), Randy De Puniet (Aspar Team), Aleix Espargaro (Aspar Team), Ivan Silva (BQR-FTR), Michele Pirro (Honda Gresini), Yonny Hernandez (BQR-FTR) dan James Ellison (Paul Bird Racing).

Sempena dengan sessi ujian MotoGP 2012 ini, SIC juga mengumumkan tiada bayaran akan dikenakan kepada para peminat yang ingin menyaksikan sessi ujian MotoGP 2012. Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket MotoGP Malaysia 2012 pada harga RM40.00 dan juga diskaun sebanyak 50% untuk tiket Formula 1 PETRONAS Malaysia Grand Prix 2012 ketika sessi ujian MotoGP ini.