Manchester United (MU) menyempurnakan perpindahan pemain pertahanan Benfica, Victor Lindelof dengan kontrak selama empat tahun di Old Trafford.

Menurut kenyataan rasmi kelab gergasi inggeris itu, pihaknya gembira untuk mengumumkan perpindahan Lindelof bermula 1 Julai hadapan.

“Pemain kelahiran Sweden ini merupakan antara pemain pertahanan versatil dan bakal membuat penampilan sulungnya dalam jelajah musim panas di Amerika Syarikat pada Julai nanti.

“Lindelof merupakan pemain pertama yang dibawa masuk oleh pengurus pasukan, Jose Mourinho selepas memenangi Liga Europa baru-baru ini,” katanya.

Lindelof yang bijak membaca permainan dan mampu melakukan terjahan serta hantaran tepat dikatakan teruja menyertai Manchester United.

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam Liga Perdana di Old Trafford di bawah pimpinan ‘The Special One’ ”.

Mourinho berkata, pasukannya gembira menerima kehadiran Lindelof ke Old Trafford.

Tambahnya, Lindelof mempunyai masa depan yang cerah di United berikutan usia pemain pertahanan itu masih muda.