Edisi ketiga Cabaran Lumba Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) pada 15-20 Oktober nanti ibarat satu misi keluarga buat jaguh Afrika Selatan, Burry Stander.

Stander, genap berusia 25 tahun September ini, muncul naib juara keseluruhan kategori elit lelaki tahun lalu dan bakal kembali ke Langkawi ditemani isterinya, Cherise, pelumba profesional bersama pasukan Momentum Toyota.

Pasangan itu  dianggap antara yang tersohor dalam dunia lumba basikal, dengan Burry jagoan laluan off-road yang tampil pada dua temasya Olimpik manakala Cherise baru-baru ini mencipta sejarah menjadi wanita pertama dari Afrika Selatan menjuarai satu peringkat Route-de-France, perlumbaan Tour de France versi wanita.

Cherise turut mengesahkan daya serba bolehnya selaku srikandi untuk laluan off-road apabila menjuarai kejohanan lumba basikal bukit marathon di Wellington, Afrika Selatan hujung minggu lalu.

Melengkapkan kehadiran keluarga Stander ialah penyertaan bapa Burry, Charles, yang bakal bersaing dalam kategori Masters Senior.

Burry hampir memenangi pingat dalam acara merentas desa di Olimpik London baru-baru ini setelah mendahului perlumbaan sebanyak dua kali sebelum tercicir ke tangga kelima.

Pelumba Republik Czech Jaroslav Kulhavy menewaskan Nino Schurter pada pecutan terakhir ke garisan penamat, disusuli wakil Itali, Marco Aurelio Fontana di tangga ketiga.

Stander ketinggalan 30 saat di belakang Kulhavy dengan catatan 1 jam, 29.37 minit, satu kemajuan berbanding tangga ke-15 di temasya di Beijing pada 2008.

“Saya cukup teruja dengan pengalaman bersaing di Langkawi tahun lalu dan tidak sabar untuk kembali beraksi.  Ia satu destinasi yang hebat untuk menghabiskan musim perlumbaan dan saya serta rakan-rakan Team Specialized akan berusaha untuk mencatat kemenangan,” kata Burry.

Stander yang menjuarai Kejohanan Dunia Bawah 23 tahun di Canberra pada 2009, mencecah prestasi terbaiknya musim ini dengan menjuarai Cape Epic sambil menduduki tangga kedua keseluruhan dalam siri Piala Dunia MTB UCI.

Stander menyelitkan dirinya dalam kelompok lima pelumba teratas pada setiap pusingan siri Piala Dunia, termasuk memenangi pusingan di Windham, New York.

Penganjur LIMBC yang juga Ketua Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Malik Mydin, menyambut baik kehadiran keluarga Stander.

“Kami menyambut baik kehadiran semula seorang jaguh bertaraf dunia seperti Burry.  Prestasinya yang konsisten memungkinkan Burry mengulangi perseteruan dengan juara bertahan, Karl Platt,” kata Malik.

Malik turut mengajak pelumba tempatan untuk merebut peluang beraksi di sisi Platt dan Stander pada acara jambori di Kuah yang dianggap pembuka tirai LIMBC 2012, pada 14 Oktober.

Selain Burry,  Team Specialized membariskan juara kebangsaan Amerika Syarikat, Todd Wells dan juara MTB marathon kebangsaan Afrika Selatan, Max Knox. Turut serta pelumba wanita, Lea Davison, juara lima kali Amerika Syarikat yang menduduki tangga ke-11 di Olimpik London.

LIMBC 2012 akan bermula dengan acara prolog ujian masa di Dataran Lang, pada Isnin 15 Oktober, disusuli Peringkat Pertama, perlumbaan sekitar pulau sejauh 65km,. Peringkat Kedua ialah perlumbaan sejauh 45km dari timur ke barat Langkawi, diikuti Peringkat Ketiga perlumbaan maraton 87km. Peringkat Keempat perlumbaan merentas desa Olimpik di GeoPark Langkawi dan disudahi Peringkat Kelima sirkit jarak dekat Pantai Kok.

LIMBC 2012 menawarkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM400,000, acara lumba basikal bukit paling mahal di Asia! Untuk maklumat lanjut, layari www.mtbmalaysia.com.