Khairi Zainuddin Berhijrah Dari Perak Bersama Empat Pemain Lain

 

Lima bekas pemain Perak merupakan antara beberapa muka baharu yang bakal memperkuatkan pasukan kelab Sime Darby bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Lima pemain berkenaan ialah Kamarul Effandi Abdul Rahim (penjaga gol), Khairi Zainuddin (pertahanan), Fahrul Razi Kamaruddin dan Fazrul Hazri Mohd Hadri (kedua-duanya pemain sayap) dan Syafiq Jamal (penyerang), demikian menurut laman sosial Facebook kelab penyokong Sime Darby FC hari ini.

Naib juara Liga Perdana musim 2012 itu turut membawa masuk dua pemain import baharu dari Croatia bagi menggantikan dua bekas pemain import mereka iaitu Leandro Teofilo dari Brazil yang ditamatkan kontrak serta Patrick Ronaldinho Wleh dari Liberia yang berhijrah ke kelab PKNS Selangor.

Dua pemain import baharu itu ialah bekas pemain tengah kelab NK Osijek di Croatia iaitu Goran Perak dan bekas penyerang kelab NK Istra 1961, Karlo Primorac.

Pasukan Sime Darby dijangka menamakan dua pemain bawah 21 tahun yang bakal mewakili kelab berkenaan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pada Jumaat ini (23 Nov) – BERNAMA