Tirai Liga Super 2013 yang dibuka hari ini pastinya tertumpu kearah pasukan Johor Darul Takzim FC (DTFC) yang dilimpahi dengan barisan bintang seperti Safee Sali, Aidil Zafuan, Safiq Rahim, serta bekas penyerang kebangsaan Sepanyol, Dani Guiza.

Pahang; lawan mereka pada perlawanan pembukaan ini sudah tentu berhadapan cabaran besar walaupun beraksi dihalaman sendiri. Pahang merupakan pendatang baru Liga Super selepas layak menerusi kemenangan play-off keatas Kedah tahun lalu.

Sememangnya jika dinilai menerusi kekuatan pasukan, Darul Takzim memiliki kelebihan berbanding skuad kendalian Dollah Salleh. Namun begitu, tidak adil untuk menutup terus peluang Pahang bagi mengutip 3 mata di Kuantan nanti.

Dollah dijangka akan mempertaruhkan gandingan penyerang import; Nicolche Klechkaroski dari Macedonia dan Mohamed Borji dari Maghribi walaupun aksi pra-musim kedua-duanya sedikit dipertikaikan peminat setia Tok Gajah.

“Memang prestasi mereka kurang memberangsakan sebelum ini tetapi apa yang saya lihat semenjak 3 hari yang lepas, Borji dan Nicolche telah menunjukkan kesungguhan dan saya percaya malam ini mereka akan menampilkan aksi bertenaga” kata Dollah ketika dihubungi DuniaSukan.

Dua pemain baru dari Selangor, Razman Roslan dan Amirulhadi juga dilihat bakal disenaraikan dalam Pahang manakala khidmat Azidan Sarudin berkemungkinan tidak dapat digunakan akibat kecederaan.

Dollah turut ditanya sama ada mempunyai ramuan bagi mengekang asakan Guiza serta rangkaian penyerang kebangsaan, Safee dan Matyo.

“Tiada ramuan istimewa. Yang penting bagi saya pemain perlu fokus dalam perlawanan dan dengar arahan. Jika mereka berjaya lakukannya, saya percaya kami akan menampilkan aksi terbaik” katanya.

Selepas menampilkan aksi cemerlang pra-musim, momentum Johor DTFC sedikit tersentak setelah tewas kepada pasukan ‘adik’, Johor FA dalam perlawanan final Piala Tuanku Mahkota Johor 2 minggu lalu.

Namun begitu pengendali pasukan, Fandi Ahmad tahu keputusan tersebut bukanlah ukuran sebenar kekuatan pasukannya dan apa yang penting adalah perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang malam ini.