The Jay Event and Media dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menjemput pasukan bolasepak amatur di sekitar negeri Melaka untuk menyertai ‘Melaka Social League’ atau Liga Sosial Melaka 2018 (MSL) yang julung kalinya diadakan di negeri ini.

Hadiah wang tunai berjumlah RM6,500 menanti pasukan yang berjaya pada edisi pertama MSL yang akan berlangsung bermula Mac hingga Mei depan dan penyertaan hanya terhad kepada 8 pasukan terawal.

Selain menawarkan keseronokan dan kepuasan kepada semua pasukan, MSL juga bertindak sebagai platform untuk mengembalikan bola sepak sebagai permainan untuk komuniti, khususnya pemain muda di sekitar negeri Melaka.

Pengurus Pembangunan Perniagaan The Jay Events, Shafik Ridzuan berkata, MSL adalah peluang terbaik kepada mereka di luar sana untuk menunjukkan bakat, malah boleh menjadi platform untuk beraksi di tahap liga bolasepak lebih tinggi seperti Liga FAM, Liga Premier dan Liga Super Malaysia pada masa akan datang.

Beliau berkata, orang ramai dijemput untuk hadir memeriahkan liga ini dengan bersama-sama menyertainya seterusnya menjadikan impian besar ini sebagai satu kenyataan buat dunia bola sepak kebangsaan.

“Kami juga berharap ia dapat memberi ruang dan peluang kepada golongan muda seperti pelajar institut pengajian tinggi, kelab bola sepak sosial, syarikat korporat dan organisasi kerajaan di Melaka dapat bersama menyertai Liga MSL ini,” katanya.

Tambah Shafik, MSL mengambil konsep dari liga bola sepak sosial yang semakin popular di Selangor seperti Klang Valley League (KVL), Selangor Social Premier League (SSPL) dan Selangor Champions League (SCL).

“Dengan tertubuhnya MSL ini, pada masa hadapan kami berharap dapat mengumpulkan kesemua pasukan terbaik dari setiap negeri untuk bersaing dalam liga sosial ini dan beraksi dalam Liga Juara Sosial Kebangsaan.

“Jutaan terima kasih terutamanya kepada pihak MUSA yang membuka pintu seluas-luasnya untuk kami menganjurkan MSL di Melaka, tidak lupa juga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang memberikan kebenaran untuk MSL dilangsungkan di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit,” katanya.

MSL dirangka dengan lima bahagian liga berbeza dengan hasrat untuk menjadi medan melahirkan pemain bola sepak profesional negara. Kesemua pasukan yang bertanding akan bermain secara liga satu pusingan dan pasukan di tangga teratas liga selepas tamat saingan akan dinobat sebagai juara.

Semua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Tun Fatimah pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh tiga bulan liga tersebut berlangsung.

Yuran pendaftaran setiap pasukan dikenakan sebanyak RM600 yang mana ia adalah termasuk deposit RM300 yang akan dipulangkan selepas tamat liga ini. Pendaftaran dan sebarang pertanyaan sila hubungi nombor yang tertera, tarikh tutup pendaftaran adalah pada 28 Februari (Rabu).

Hadiah wang tunai RM3,000 menanti pasukan Juara, RM2,000 untuk Naib Juara, RM1,000 untuk tempat ketiga dan RM500 untuk pasukan tempat keempat