logo2

Beberapa perlawanan Liga Malaysia akan dilangsungkan pada waktu petang ekoran kegagalan beberapa stadium untuk menepati piawaian yang telah ditetapkan FAM.

FAM sebelum ini menetapkan 1000 lux untuk kecerahan lampu limpah sesuatu stadium itu untuk pertandingan di waktu malam. Setakat ini hanya 7 stadium yang berjaya menepati piawaian tersebut dengan 5 daripadanya adalah gelanggang untuk Liga Super iaitu Stadium Sultan Muhamad IV iaitu gelanggang rasmi pasukan Kelantan, Stadium Shah Alam (Selangor dan PKNS), Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (Negeri Sembilan dan ATM), Stadium Darul Makmur (Pahang) dan Stadium Jalan Besar (LionsXII).

2 lagi stadium pula digunakan untuk saingan Liga Premier iaitu Stadium Darul Aman (Kedah) dan Stadium Negeri Kuching (Sarawak). Selain daripada 7 stadium yang dinyatakan ini akan dimainkan di waktu petang.

Walaubagaimanapun, menurut pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beberapa pasukan telah memaklumkan sedang berusaha untuk meningkatkan insfrastruktur stadium termasuk kecerahan lampu limpah.

“Saya difahamkan Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Terengganu, Stadium Selayang dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin dalam proses penambahbaikan. Pasukan Perak pula akan bermain sementara di Stadium TLDM di Lumut pada waktu petang ekoran Stadium Perak ditutup untuk kerja-kerja penambahan fasiliti” katanya di Wisma FAM pada Khamis.

“Kita akan melaksanakan pemeriksaan bagi mana-mana stadium yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam sekiranya mereka berjaya mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux selepas melalui proses penambahbaikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Hamidin berkata tindakan FAM tidak membenarkan pasukan bermain di waktu siang ini bukanlah berniat untuk menghukum pasukan yang bertanding.

“Bukan niat untuk menghukum. FAM perlu sediakan satu tanda aras atau KPI bagi liga kita. Standart perlawanan antarabangsa ialah 1200 lux dan ini salah satu langkah bagi mengantarabangsakan pasukan-pasukan kita.

Hamidin juga berkata secara peribadinya tiada masalah untuk satu-satu pasukan itu menarik penyokong hadir ke stadium jika beraksi di waktu siang.

“Kalau kita lihat, ada liga-liga utama di Asia yang melangsungkan perlawanan di waktu siang. Malahan, ini sebenarnya memudahkan penyokong dan juga media. Mungkin di Malaysia sahaja kita terasa kekok beraksi di waktu petang kerana sudah terlalu kerap beraksi di waktu malam”.