UiTM Shah Alam kekal pilihan utama mengekalkan gelaran Divisyen Satu apabila saingan Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi – Liga IPT 2011 – kembali menghiasi kalendar tempatan sesudah hampir dua bulan berehat.

UiTM Shah Alam berada di tangga teratas dengan 13 mata selepas mencatat empat kemenangan dan satu seri serta dijadual beradu tenaga dengan Politeknik Kota Bharu (PKB) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sebelum melengkapkan jadual.

‘Intekma’ akan menentang PKB pada Sabtu 21 Mei dan UTHM 28 Mei.

Namun demikian, naib juara musim lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Komuniti Kedah (KKK) turut melaung keyakinan mereka untuk memintas dengan ‘Hijau Kuning’ berada pada posisi terbaik.

Diketuai pemain pertahanan Amir Ridzwan Tajuddin dibantu dua bekas pemain Harimau Muda B, Saiful Ridzwan Selamat dan Nur Salam Zainal Abidin, UiTM optimis mencatat mata maksimum bagi mengetepikan cabaran lawan.

“Kami telah membuat persiapan terbaik sepanjang tempoh rehat. Tidak seperti pasukan lain, UiTM kekal aktif sepanjang tempoh rehat Liga IPT kerana kami bersaing dalam Liga FAM,” kata pengurus pasukan UiTM, Ariff Hashim, .

Selain menumpu fokus kepada saingan Liga FAM yang dibarisi antara lain Suruhanjaya Perkhidmatan Awam KL, Melodi Jaya, Kor RAMD dan MBJB, UiTM memasang impian merangkul kejuaraan Divisyen Satu Liga IPT buat tahun kedua berturut-turut.

“Saingan Liga FAM memberi peluang kepada pemain kami mengasah teknik, taktik dan semangat juang,” kata jurulatih UiTM, Omar Ali.

“Namun kami tetap menghormati keupayaan UKM dan KKK yang turut berhajat merangkul gelaran. Pada saya, pasukan paling kurang membuat silap dan sedikit tuah akan muncul juara.”

KKK dilihat pasukan paling menonjol musim ini. Berada di tangga kedua dengan rekod tanpa kalah serta barisan depan meledak 13 gol – tertinggi dalam Divisyen 1 – skuad bimbingan bekas pemain Kedah, Mohammad Ramlee, berpotensi mampu melebur hajat UiTM Shah Alam dan UKM.

Ini kerana KKK melengkapkan jadual bertemu pasukan dianggap kerdil, Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) pada Sabtu 21 Mei dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sabtu depan.

Dalam tempoh rehat itu, KKK turut mengadakan dua aksi persahabatan, seri 1-1 ketika menentang Kolej Komuniti Terengganu dan menang ke atas Tentera 2-1 pada Selasa lalu.

Mohammad dan KKK terus menyandarkan harapan keserasian kembar seiras, Mohd Fuzairie (bek tengah) dan Mohd Fuzaidie Jaafar (tengah) untuk menjana jentera pasukan selain ketajaman dua peledak utama, Muhammad Faridzuan Fauzi (5 gol) dan Ku Nazri Azuan Ku Azizan (4 gol).

Bagi pengendali UKM, Mohd Farid Dewan yang juga bekas pemain Kuala Lumpur, beliau mahu anak buahnya memburu tiga mata menentang UiTM Sarawak 21 Mei ini.

“Perlawanan Sabtu ini (menentang UiTM Sarawak) amat penting. Jika gagal, bermakna impian lebur. Tiga mata amat penting pada ketika tiga pasukan bersaing sengit untuk merangkul gelaran.”

UKM dijangka menang mudah ke atas lawan dari Bumi Kenyalang itu yang gagal menang dalam lima aksi sebelum ini. Berada di tangga kedua corot dan kubu dibolosi 14 gol, ia membayangkan betapa rapuh pasukan ini.

Bagaimanapun UKM akan berdepan saingan lebih getir apabila menutup kempen berkunjung ke PKB pada 28 Mei.

KKKB yang gagal dalam lima aksi sebelum ini sudah pun mengesahkan tempat dalam saingan Divisyen 2 musim depan. UMS dan UiTM Sarawak pula bersaing untuk mengelak menemani pasukan dari Pulau Pinang itu.

Sementara itu Universiti Multimedia, Universiti Malaya dan Kolej Komuniti Perak bersaing hebat dalam Divisyen 2 untuk merebut dua tiket ke Divisyen 1 musim depan.