Connect with:




Berita gembira buat peminat sukan dan teknologi dron apabila buat pertama kalinya di Malaysia, Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri bakal berlangsung pada 19 hingga 20 Oktober ini di Kompleks Sukan EduCity dengan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi kolaborasi antara Asia Drone League, Iskandar Innovations Sdn Bhd dan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd bakal mempertandingkan dua kategori tumpuan iaitu terbuka dan beginner buat peserta antarabangsa serta tempatan tanpa mengira had umur.

Lebih menarik, hampir 50 pemain dron antarabangsa daripada lapan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan India telah mengesahkan penyertaan.

Festival dron yang julung kali diadakan di negara ini bakal menyajikan pertandingan kejohanan lumba dron, ekspo dan bengkel dron bagi mereka yang ingin mengetahui fungsi dan kegunaan dron dengan lebih dekat.

Ketua Bahagian Digital IIB, Mohd Nukman Abdul Rahman nyata optimis dengan potensi yang dimiliki sukan dron dan perkembangan Liga Dron Asia yang bakal menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, kepentingan penganjuran festival berkenaan adalah untuk memperkembangkan lagi sukan dron di negara ini.

“Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri merupakan festival dron pertama yang diadakan di negara ini yang akan membantu perkembangan sukan dron di negara kita. Walaupun sukan ini masih baharu, tetapi ia memiliki potensi yang besar dan banyak bakat dapat dicungkil melalui platform kami sediakan.

“Justeru itu, kejohanan seperti ini amat sesuai buat mereka yang masih baru dan ingin mencuba pamerkan bakat dimiliki selain daripada keinginan kami mengangkat Liga Dron Asia setanding dengan Drone Racing League dan Asia Drone Championship,” katanya.

Tambah Mohd. Nukman, festival ini juga akan memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengenali lebih dekat latar belakang sukan dron melalui ekspo dan bengkel dianjurkan nanti.

“Sukacitanya kami amat berbesar hati untuk membawa organisasi dan pakar-pakar dron antarabangsa untuk bersama dan berkongsi maklumat secara percuma dengan para peserta serta orang ramai yang hadir,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi, pihaknya selaku penyedia venue pertandingan dan festival dron berkenaan berharap kesemua peserta serta pengunjung selesa dengan kemudahan bertaraf dunia yang ada di Kompleks Sukan EduCity.

“Kami memberikan yang terbaik untuk penganjuran kali pertama Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri dan berharap pengunjung dapat hadir beramai-ramai memeriahkan festival ini.

“Lokasi yang menarik dan pelbagai aktiviti di Kompleks Sukan EduCity pastinya membolehkan festival dron ini berlangsung lebih menarik dan berprestij,” katanya.

Sementara itu, pengendali Liga Dron Asia, Alex Marzuki berharap semua rakyat Malaysia dapat memeriahkan festival tersebut kerana pelbagai aktiviti menarik bakal dianjurkan.

“Acara ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira usia kerana dron senang untuk dikendalikan malah program-program akan kami adakan sesuai untuk kanak-kanak yang baru mahu mengenali dron seperti “workshop” bagi memperkenalkan kepada kanakkanak apa itu dron dan bagaimana kita boleh aplikasikan dron itu dalam kehidupan kita sendiri.

“Peserta dan pengunjung tidak perlu membayar apa-apa untuk menyertai acara ini. Jadi datanglah beramai-ramai ke Kompleks Sukan EduCity.

“Kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia, tak kisah tua atau muda, tahu atau tidak pasal dron, semua dijemput hadir ke Kompleks Sukan EduCity pada 19 dan 20 Oktober ini,” kata Alex.

Dron atau nama lainnya pesawat tanpa pemandu (UAV) kini bukan lagi digunakan secara eksklusif bagi tujuan ketenteraan seperti masa lampau, malah kini telah menjadi hobi dan menjadi sukan kompetitif masyarakat antarabangsa.

Bagi memastikan festival berkenaan berlangsung dengan prestij tersendiri maka beberapa organisasi berkaitan turut dijemput antaranya Persatuan Lumba Dron Jepun (JDRA), Transtec, BetaFPV dan organisasi tempatan.

Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Innovations Sdn Bhd, EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).