Hatrik penyerang, Mohd Razreen Mohd Jesni memastikan pasukannya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menang besar 4-1 ke atas Kolej Komuniti Kedah dalam aksi pembukaan Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2012 yang berlangsung di Stadium UiTM semalam.

Gol pertama perlawanan dijaringkan Afham Zulkipeli untuk UiTM mendahului aksi yang berlangsung di sebelah petang itu, sementara gol saguhati buat pasukan pelawat dijaringkan oleh Rohazren Mat Ali setelah ketinggalan tiga gol kepada juara Liga IPT musim lalu itu.

Liga Bolasepak IPT 2012 merangkumi tiga divisyen melibatkan 24 Institut Pengajian Tinggi seluruh negara yang dibahagikan kepada lapan pasukan setiap divisyen. Liga ini dijangka berlangsung sehingga bulan Ogos 2012.

UiTM dan Kolej Komuniti Kedah beraksi dalam Divisyen 1 bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Multimedia, Universiti Malaya dan Politeknik Kota Bahru.

Divisyen 2 pula melibatkan Kolej Komuniti Pulau Pinang, UiTM Sarawak, Kolej Komuniti Perak, Universiti Selangor, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia, UiTM Perlis dan Universiti Teknikal Melaka Malaysia.

Sementara di Divisyen 3, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UiTM Pahang, Politeknik Kuching Sarawak, Politeknik Melaka, Politeknik Mukah Sarawak, Kolej Komuniti Pahang dan Kolej Yayasan Sabah akan bersaing sepanjang musim ini.

Hari ini akan berlangsung sepuluh lagi aksi melibatkan ketiga-tiga divisyen antaranya pertembungan Universiti Malaysia Sabah dengan Universiti Malaya, KK Pulau Pinang lawan UiTM Perlis dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia menentang Universiti Kebangsaan Malaysia.