Connect with:




Perlawanan ke lima Liga Perdana Inggeris bakal bersambung pada 15 September ini setelah berehat seketika bagi memberi laluan buat Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA  pada 6 sehingga 11 September lalu.

Pastinya yang akan mencuri tumpuan adalah pertembungan Naib Juara  Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Liverpool menentang Tottenham Hotspurs Sabtu ini dan ianya adalah satu-satunya pertembungan melibatkan dua pasukan dari kelompok enam teratas pada pertembungan ke lima liga itu.

Impian Spurs untuk melayan pelawat di stadium baru mereka tidak kesampaian atas masalah teknikal yang dialami sekaligus pertembungan tumpuan ini bakal berlangsung di stadium sementara skuad The Lilywhites itu di Wembley dimana ianya adalah mimpi ngeri The Reds.

Kunjungan terakhir Liverpool ke Wembley adalah sebelas bulan lalu ketika mereka diaibkan 4-1  di tangan Tottenham.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino bakal menjadi ujian berat pertama buat Liverpool yang sebelum ini meraih semua kemenangan dengan satu bolos dalam empat perlawanan sebelumnya.

Empat lagi pasukan pada kedudukan enam teratas akan menghadapi lawan yang dianggap lebih mudah namun sudah menjadi kebiasaan di Liga Inggeris yang penuh dengan kejutan di mana pasukan-pasukan utama tunduk di tangan pasukan kerdil.

Manchester United yang terumbang-ambing memburu kemenangan bakal berhadapan pasukan Watford yang tampil penuh kejutan awal musim ni dengan rekod 100% kemenangan sama seperti Liverpool dan Chelsea.

The Hornets telah menghasilkan sembilan gol dan tiga bolos dalam empat pertembungan liga malah mereka turut menjinakkan Tottenham Hotspurs pada perlawanan ke empat liga.

Dalam perlawanan lain, Manchester City bakal menjamu Fulham di Etihad sementara Chelsea bakal menjadi tuan rumah buat pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Cardiff City dan Arsenal bakal berkunjung ke markas Newcastle United.