Connect with:




Melaka United MBMB (MU MBMB) bersedia mempertahankan kejuaraan Liga Futsal Kebangsaan 2018 selepas meraih empat kemenangan berturut-turut setakat ini.

Misi mempertahankan kejuaaran musim lalu tampak realistik buat skuad MU selepas menewaskan KL FELDA United (5-3), Selangor United MPSJ (5-2), Pahang Kuantan Rangers (7-2) dan Pulau Pinang MBPP (9-2), sekali gus melonjakkan motivasi buat pemain untuk terus menyerlah.

Menurut Pengarah MU MBMB, Ahmad Roslee Hamzah menganggap kemenangan amat penting untuk memastikan sasaran pasukan terjamin.

Sokongan padu pengurusan tertinggi terutama Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjadikan tiada yang mustahil buat pasukan untuk muncul juara kali kedua.

“Masih terlalu awal untuk mendabik dada kerana semua lawan juga akan menjanjikan saingansengit, terutama skuad Perak dan KL City FC.

“Jika pasukan teruskan aksi konsisten seperti empat perlawanan terdahulu, kami yakin skuad ini mampu muncul juara,” katanya.

Skuad bimbingan jurulatih Mohd Isa Rahim itu kini giat menjalani latihan menjelang perlawanan kelima dan keenam pada 31 Mac dan 1 April depan.

Melaka United menghuni tangga teratas dengan 12 mata, diikuti Perak di tangga kedua (12 mata), namun perbezaan jaringan memihak kepada MU untuk memimpin carta dengan KL City FC di tangga ketiga mengumpul 9 mata.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : arenafutsal(dot)my