Connect with:




Sesiapa yang bertanggungjawab, sila letak jawatan! Luah pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) , Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas menzahirkan rasa hampa dengan kecaman orang ramai terhadap reka bentuk trofi Kasut Emas Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK 18) yang berlangsung Isnin lepas.

Reka bentuk trofi berkenaan dilihat seperti kasut kaca kanak-kanak menjadi bahan kritikan peminat bola sepak tempatan tatkala anugerah kasut emas berkenaan dikatakan antara simbolik pengiktirafan paling tinggi bagi seseorang penerima anugerah.

Menerusi laman Twitternya, Tunku Ismail tampak kecewa turut berharap tindakan segera akan dilakukan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya ada dimaklumkan mengenai kualiti anugerah yang diberikan semasa ABK 2018 dan jelas sekali perkara itu tidak boleh diterima dan saya berharap sesiapa sahaja yang bertanggungjawab untuk melepaskan jawatan.

“Baru 13 jam saya ke luar negara dan masalah sudah berlaku. Sesiapa yang bertanggungjawab, sila letak jawatan.

“MFL, selesaikan masalah ini dan berikan mereka trofi yang lebih berkualiti. Utamakan kualiti dan bukan kuantiti,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, MFL telah memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia atas insiden yang dianggap yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian organisasi mereka.