Connect with:




Safawi Rasid muncul wira skuad Malaysia Bawah 23 (B-23) tahun apabila berjaya menjaringkan gol tunggal yang membawa kemenangan ke atas Laos B-23 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan J kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Gol kemenangan hasil sepakan percuma kaki kiri Safawi berjaya mengelirukan penjaga gol Laos B-23, Xaysavath terus menerjah jaring pada minit ke-81.

Skuad Harimau Muda memerlukan kemenangan ke atas Laos untuk mencerahkan peluang sebelum bertemu China B-23 bermula agak hambar pada separuh masa pertama apabila Laos lebih menguasai bahagian tengah.

Pada minit ke-7 Malaysia tidak bernasib baik apabila Nik Azli Alias dikenakan kad kuning apabila dikatakan beliau sengaja menjatuhkan badan dalam kotak penalti.

Laos hampir membuat kejutan apabila rembatan jarak jauh Bounphachan Bounkong selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia pada minit ke-36 hanya terkena palang gol.

Tamat separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia meningkatkan serangan bagi mendapatkan jaringan pertama.

Pada minit ke-54, Safawi masuk untuk menggantikan Faisal Halim manakala Muhammad Jafri ditukarkan dengan Nik Azli Alias bagi menambah ketajaman serangan.

Gol pertama hadir pada minit ke-81 apabila Safawi muncul sebagai wira skuad negara menjaringkan gol sepakan percuma jarak jauh.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan memberi kelegaa buat Malaysia sebelum bertemu China Selasa nanti.

Selepas perlawanan, ketua jurulatih Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee mengakui persembahan anak buahnya tidak begitu baik pada perlawanan menentang Laos.

“Saya akui persembahan pada perlawanan ini agak kurang menjadi tetapi apa yang penting kita membawa enam mata untuk bertemu China nanti,” katanya.

Dalam masa yang sama, Kim Swee tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan kesebelasan terbaik ketika bertemu Laos sebelum bertemu China.

“Kita kena faham jika ingin ambil alih tanga pertama kumpulan daripada China, kita mesti menang 11-0 ke atas Laos tetapi jika hanya menang 10-0 sekalipun kita tetap ditempat kedua.

“Walaupun perlawanan ini tidak baik kita tetap menang dan akan bertemu dengan China dengan enam mata, itu yang penting,” jelas Kim Swee.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih Laos, V Sundram Moorthy berkata mereka agak kecewa apabila tewas satu gol hasil sepakan percuma setelah skuadnya berjaya bertahan selama 80 minit.

“Saya agak terkejut dengan skuad Malaysia yang membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama tetapi kami hanya tewas dengan satu tendangan percuma,” katanya.

Foto : Dunia Sukan/ Seiran Rosli