Connect with:




Dijangka lebih 50 negara dan meliputi lebih 2000 penggiat bola sepak serata dunia bakal berkunjung ke Kuala Lumpur pada tahun 2019 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia Asia (WFSA) yang akan berlangsung pada 29 dan 30 April tahun depan.

Seramai 60 tokoh terkemuka bola sepak dunia akan berucap pada sidang kemuncak itu, antaranya adalah, Presiden La Liga Javier Tebas, pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Fatma Samoura.

Selain itu, sidang tersebut turut akan dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak Brazil yang juga pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2002, Ronaldo Nazario.

Ketua pegawai eksekutif WFSA R. Mohan berkata, sidang kemuncak itu adalah platform buat semua pemegang kepentingan dalam industri bola sepak dalam usaha membawa bola sepak Asia ke tahap lebih tinggi mengatasi kejayaan yang dilakukan di tiga edisi terdahulu iaitu Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid, Sepanyol.

“Untuk memastikan bola sepak terus maju serta berkembang, kita harus memastikan satu program seperti WFSA untuk mengetengahkan wawasan dan melahirkan pandangan tentang bola sepak dunia, terutama dari segi penajaan, pemindahan pemain, hak media dan sains sukan, sekadar menyebut beberapa perkara,” katanya pada majlis pelancaran tidak rasmi sidang kemuncak itu semalam.

Menurut Mohan lagi sidang kemuncak itu dijangka mampu menarik wakil daripada lebih 70 kelab bola sepak, 100 petugas media dan 25 pempamer.

Pihak WFSA turut mengadakan beberapa aktiviti bersempena kemuncak itu seperti perlawanan bola sepak antara pasukan pemain legenda pilihan La Liga dan pemain legenda Malaysia, sesi rangkaian, anugerah industri serta e-Sports (sukan elektronik).

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara yang juga antara rakan utama WFS, Ivan Cordina ketika berucap di sidang media majlis yang sama yakin persidangan itu mampu membuka pelbagai peluang dalam dalam usaha memajukan bola sepak rantau Asia, khususnya di Malaysia.

“Bagi saya, saya akan mengalu-alukan mana-mana bahagian sekalipun di dalam bola sepak yang perlu dikembangkan dalam sesebuah negara itu. Benar ianya harus dipertingkatkan dan buat masa ini saya tahu MFL sedang berkerja keras untuk merealitikannya,” jelas Cordina.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah WFS, Marion Otamendi serta Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam.

Penganjuran WFSA turut mendapat sokongan positif dari Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang percaya penganjuran kemuncak tersebut di Kuala Lumpur akan membantu serta mendorong kepada pelaksanaan pelan jangka panjang F : 30 yang baru saja dilancarkan badan itu.

“Buat masa sekarang memang pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi pandangan untuk menitikberatkan factor teknikal. Jadi dalam masa sebulan dua ni AFC akan memberikan pendapat dan kami daripada FAM akan memantau serta berbincang lebih mendalam,” kata Stuart.

Anda boleh ke laman Facebook rasmi WFS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sidang kemuncak serta pendaftaran: www.facebook.com/worldfootballsummit atau laman sesawangnya: asia.worldfootballsummit.com.

 

Foto : World Football Summit Asia