Connect with:




Masih belum mendapatkan pasport Malaysia, pemain kacukan berdarah Malaysia- England, Lee Tuck terpaksa melupakan hajat menyarung jersi Harimau Malaya bagi membolehkannya berada dalam senarai 25 pemain skuad kebangsaan  untuk beraksi di Piala Airmarine 2019.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata FAM sudah pun merancang untuk menggunakan khidmat Lee Tuck untuk Piala Airmarine namun terpaksa ditangguhkan kerana proses dokumentasi permohonan masih belum selesai.

“Memang ada perancangan untuk mengambil dia (Lee Tuck) beraksi tapi dia belum berjaya mendapatkan pasport Malaysia. Kalau tidak sekarang (Piala Airmarine 2019) mungkin kita akan senaraikan dalam perlawanan antarabangsa yang lain.

“Jangan risau, masih banyak lagi masa dan yang penting dia dan Terengganu FC kena memohon pasport negara ini,” katanya kepada Arena Metro.

Lee Tuck sebelum ini berhasrat untuk menyertai skuad kebangsaan selepas dia teruja melihat kelibat tonggak naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh beraksi di Piala AFF pada Disember lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu bagaimanapun mempunyai sedikit kelebihan  kerana dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia apabila neneknya berasal dari negara ini dan prosesnya lebih mudah.

Jika berjaya, Lee Tuck akan menyusuli langkah beberapa pemain lain yang memiliki pertalian darah dengan negara ini seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies (Pahang), Kiko Insa dan Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim).

Foto: Terengganu FA