Connect with:




Cabaran sengit bakal dihadapi oleh jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kejuaraan Seluruh England yang akan membuka tirai saingannya, esok.

Berikutan kejayaannya pada tahun 2010, 2011, 2014, 2017 yang menyamai rekod bekas pemain antarabangsa, Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Chong, pemain nombor dua dunia itu berhasrat untuk mencipta sejarah ingin menjadi rakyat Malaysia pertama yang paling banyak memenangi kejohanan berprestij itu.

Walau bagaimanapun, pemain berusia 36 tahun itu menjangkakan saingan sukar bakal ditunjukkan bagi edisi kali ini dalam usaha dia untuk ke final.

“Semua orang mahu memenangi All England kerana ia adalah kejohanan paling berprestij di dunia. Saya bertekad menjadi orang Malaysia yang pertama untuk mencapai lima gelaran, “kata Chong Wei.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memaksa diri saya memikirkan untuk memenangi mahkota kelima saya. Persiapan yang baik penting buat saya sekarang. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik dalam setiap pusingan.

“ Walaupun saya berusia 36 tahun, tetapi saya masih berjuang di gelanggang demi Malaysia. Saya gembira dengan tahap saya sekarang,” kata Lee Chong Wei kepada media.

Chong Wei akan membuka kempen All England melawan Brazil, Ygor Coelho pada Rabu.

Bagaimanapun, jika dia melepasi pusingan pertama. Dia dijangka akan bertembung dengan Jan Jorgensen dari Denmark, yang membuat kemunculan semula daripada kecederaan, sebelum seteru tradisi dan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China menantinya di suku akhir.

“Undian itu kelihatan sukar tetapi saya tidak mengalami sebarang tekanan. Saya mengambilnya sebagai sumber motivasi.

Seperti yang saya katakan tadi, tumpuan saya pada tahun ini adalah Sukan Komanwel Gold Coast, Piala Thomas (Bangkok) dan Sukan Asia (Indonesia),” tambah Chong Wei.