Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek yakin jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sukar ditandingi mana-mana pemain tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Misbun menyifatkan wira negara tersebut sebagai pemain yang luar biasa.

Katanya, walaupun Chong Wei kalah kepada pemain muda Perancis, Brice Laverdez dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland baru-baru ini, keputusan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran kepada prestasi semasa pemain itu.

“Saya baru beberapa bulan kembali membimbing dia dan saya mendapati Chong Wei bukan seorang pemain yang mudah menyerah kalah begitu sahaja. Dia pemain yang luar biasa dan dia akan kembali (bangkit).

“Berani saya katakan Chong Wei mampu bermain untuk negara dalam kejohanan utama untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang. Kekalahannya baru-baru ini di Glasgow adalah berpunca dari masalah komunikasi yang boleh ditingkatkan pada masa depan,” katanya selepas majlis penutupan Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah, bekas pemain Datuk Seri Jalani Sidek dan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kota Raja, Mohd. Kushyairi Aziz.

Tambah Misbun, Chong Wei mampu mengikuti regim latihan yang berat setanding pemain-pemain muda, malah dia yang lebih menonjol semasa sesi latihan.

Misbun menambah dia masih belum melihat kelibat pemain muda yang mampu menggantikan tempat Chong Wei untuk tempoh 15 tahun akan datang bagi mewakili negara dalam kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

“Saya akan mengembalikan dia ke tahap semasa dia memenangi lebih 60 kejohanan utama dunia. Dia tetap sandaran utama negara untuk Sukan Komanwel 2018 mahupun Piala Thomas akan datang,” katanya.

Foto Kredit: BFW Fansite