LCW2

Datuk Lee Chong Wei mudah melepasi halangan pusingan pertama dengan menewaskan lawannya dari Denmark, Viktor Axelsen 21-8,21-10. Pemain nombor 1 dunia itu hanya mengambil masa selama minit untuk menumpaskan Axelsen yang juga bekas juara remaja dunia 2010.

“Keseluruhannya hari ini segalanya bermula dengan baik. Saya juga sudah mula mendapatkan rentak selepas kembali dari Korea.

“Selepas ini saya fokus dalam perlawanan seterusnya. Yang penting bagi saya, jangan memandang rendah kepada lawan” kata Chong Wei.

Turut mengiringi Chong Wei dalam kategori perseorangan lelaki ialah Liew Darren yang menumpaskan pemain India, Ajay Jayaram 21-15, 21-11.

Walaubagaimanapun, jejak dua pemain ini gagal diikuti barisan perseorangan lain seperti Arif Latif, dan juga pemain muda Zulfadli Zulkifli. Arif tewas 16-21, 18-21 kepada bintang Indonesia, Sony Dwi Kuncoro manakala Chong Wei Fei tumpas kepada pilihan kedua kejohanan, Kenichi Tago dari Jepun.

Zulfadli pula menunjukkan semangat melawan ketika tewas 21-23,21-13, 13-21 kepada Rajiv Ouseph dari England.

Zulfadli Zulkifli

“Set ketiga saya agak tertekan dan hasilnya banyak kesilapan yang telah dilakukan. Rajiv juga seperti yang diketahui memang pemain yang bagus.

“Apapun, ini satu pengalaman yang baik untuk saya dalam mematangkan lagi kareer saya sebagai pemain badminton lebih-lebih lagi bagi pemain muda seperti saya” kata Zulfadli yang ditemui selepas bermain diperlawanan yang mengambil masa 63 minit sebelum tewas kepada Rajiv.

Pusingan kedua pada Khamis akan menyaksikan Lee Chong Wei menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana .

Liew Darren pula boleh menghela nafas lega selepas lawannya dipusingan kedua, Taufik Hidayat menarik diri sekaligus terus melangkah ke suku akhir yang dijadualkan bermula Jumaat ini.