Datuk Lee Chong Wei mengetuai senarai barisan pemain Malaysia yang telahpun berjaya melayakkan diri ke suku akhir badminton Maybank Malaysia Open 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Chong Wei selaku pemain nombor 1 dunia menerima kemenangan percuma selepas lawannya dari Thailand, Boonsak Ponsana menarik diri akibat demam dan bakal menentang Hu Yun, pilihan ke-5 dari Hong Kong. Seorang lagi pemain Malaysia, Liew Darren terlebih dahulu menempah tiket suku akhir lebih awal selepas lawannya Taufik Hidayat turut menarik diri.

Chong Wei terima kemenangan percuma

Chong Wei terima kemenangan percuma

 

“Mungkin jadual dan kalendar tahunan yang begitu padat menyebabkan pemain-pemain ini penat dan seterusnya tidak dapat meneruskan kejohanan tetapi saya difahamkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan mengkaji semula perkara ini” kata Chong Wei ketika diminta mengulas mengenai penarikan diri beberapa pemain pilihan.

Dalam acara beregu lelaki pula,  hanya tinggal Goh V Shem – Lim Kim Wah menjadi sandaran negara selepas 3 beregu lain terkandas di pusingan kedua. V Shem – Kim Wah yang bakal bertemu beregu Korea, Kang Ji Wook – Lee Sang Joon di suku akhir nanti mendapat kemenangan percuma setelah lawan mereka Koo Ken Kiat – Tan Boon Heong menarik diri dari perlawanan.

“Boon Heong sebenarnya mengalami demam panas sejak semalam lagi. Pagi tadi, keadaannya semakin teruk dan akhirnya terpaksa menarik diri. Kemungkinan juga dia disyaki dijangkiti denggi tetapi saya harap ini cuma demam biasa” kata jurulatih beregu negara, Tan Kim Her.

“Sememangnya satu kerugian buat kita kerana mereka harapan utama negara untuk merangkul kejuaraan. Mujur lawan mereka adalah pasangan negara juga dan ini sedikit sebanyak menguntungkan V Shem – Kim Wah dalam memburu mata ke kejohanan dunia” tambah Kim Her.

2 lagi pasangan negara, Gan Tek Chai-Ong Soon Hock serta Hoon Thien How-Tan Wee Kiong juga terkandas selepas tewas kepada lawan masing-masing. Tek Chai-Soon Hock tewas kepada beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata 21-13, 21-10 sementara Thien How-Wee Kiong memberi saingan sengit sebelum dikalahkan beregu Korea, Kang Ji Wook-Lee Sang Joon 21-17,11-21,16-21.

Teik Chai - Soon Hock tewas kepada pasangan Jepun

Teik Chai – Soon Hock tewas kepada pasangan Jepun

 

Malaysia juga sekurang-kurangnya akan mempunyai satu pasangan beregu campuran di peringkat separuh akhir selepas dua beregu bakal bertemu sesama sendiri di suku akhir nanti.

Gandingan Tan Aik Quan – Lai Pei Jing menewaskan beregu Scotland, Robert Blair – Jillie Cooper 21-16, 21-18 sementara pilihan utama Chan Peng Soon – Goh Liu Ying terpaksa bermandi peluh sebelum menang 21-19, 18-21, 21-16 keatas pasangan Denmark, Pieler Kolding-Rhytter Juhl.

Chan Peng Soon - Goh Liu Ying

Chan Peng Soon – Goh Liu Ying

 

“Perlawanan tadi agak sukar kerana tiupan angin yang mengelirukan tetapi secara keseluruhan kami bermain agak baik berbanding aksi semalam” kata Peng Soon.

Liu Ying pula meramalkan peluang 50-50 dalam pertemuan mereka menentang rakan senegara nanti.

“Kita selalu berlatih bersama-sama. Kami juga pernah bertemu mereka dalam Terbuka India dua tahun lepas yang menyaksikan kami menang tipis sahaja jadi saya menjangkakan peluang terbuka untuk kedua-dua beregu” jelas Liu Ying.

Sementara itu, satu-satunya wakil Malaysia dalam acara perseorangan wanita iaitu Sonia Cheah tewas kepada Xue Yao dari China dengan mata 21-16, 21-15 sekaligus gagal melangkah ke suku akhir kejohanan.