Connect with:




Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira selepas meledak dua gol pada penhujung perlawanan menentang Laos semalam sekaligus membawa Harimau Malaya mencatat kemenangan kedua dalam kempen Piala AFF 2018.

Dikejutkan pada minit ke-7 hasil sepakan percuma cantik Phithack Kongmatilath, Malaysia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi ketua pasukan, Zaquan Adha.

Skuad negara kemudian mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan demi serangan namun gol kemenangan yang dinanti masih tak kunjung tiba. Sehinggalah pada minit ke-86, Norshahrul berjaya melegakan 25000 penyokong yang hadir ke Bukit Jalil semalam sebelum menambah satu lagi gol pada masa kecederaan.

Bagi Norshahrol yang lebih dikenali sebagai Matyo, kemenangan semalam adalah hasil kerja sepasukan dan bukannya kerana dia semata-mata.

“Saya gembira untuk mencetak dua gol namun yang lebih penting, semua pemain bekerja keras di atas padang.

“Walaupun serangan demi serangan tidak berjaya menghasilkan gol, pemain tidak panik. Zaquan (ketua pasukan) berjaya menenangkan semua pemain. Pengalaman bintang-bintang muda seperti Akhyar dan Safawi di pentas yang lebih besar turut membantu bahagian serangan untuk akhirnya menemui gol.

Matyo menambah, sebagai penyerang, sememangnya menjaringkan adalah tugasan yang perlu dipikul namun dalam masa yang sama tetap mahu pemain lain turut bersama-sama mencetak gol dalam perlawanan yang akan datang.

Bagi Tan Cheng Hoe, beliau tidak terkejut dengan prestasi yang ditunjukkan Matyo pada perlawanan semalam.

“Saya telah lama mengenali Matyo. Disiplin dan keinginannya adalah kunci yang perlu ada dalam setiap penyerang.

Mengenai mutu perlawanan, Cheng Hoe lega anak-anak buahnya bangkit dari ketinggalan dan tidak berputus asa walaupun banyak percubaan tidak diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Walaupun kita ketinggalan seawal minit ketujuh, mereka tidak putus asa dan terus memburu gol.

“Begitu juga pada perlawanan bertemu Vietnam nanti, kami tidak akan bermain secara bertahan selama 90 minit, tetapi kami akan mempamerkan corak permainan menyerang.

Malaysia kini memimpin carta kumpulan A menerusi 6 mata diikuti Vietnam dan Myanmar yang menewaskan Cambodia 4-1 semalam.

Skuad negara selepas ini akan menentang Vietnam di Hanoi pada 16 November sebelum mengakhiri peringkat kumpulan dengan aksi di tempat sendiri bertemu Myanmar pada 24 November.