Connect with:




Sejarah baru tercipta apabila atlet muda negara memecahkan dua rekod temasya Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina, semalam.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 15, muncul sebagai “Putera Pecut” Asean selepas menjulang pingat emas acara 100m dengan mencatat rekod baharu kejohanan, 10.69s yang sebelum ini dipegang pelari muda Thailand, Rattanopon Sowan dengan masa 10.74s yang dilakukan pada edisi 2011 di Jakarta.

Dia turut meletakkan dia pelari keempat terpantas Malaysia bagi kategori senior tahun ini selain memecahkan rekod bawah 15 tahun kebangsaan.

Atlet berusia 15 tahun dari Perak itu menewaskan rakan senegara, Muhammad Arsyad Md Saat yang mencatat kepantasan 10.87s manakala pelari Indonesia Muhammad Ardiansyah memenangi gangsa dengan catatan 10.98s.

Dalam perkembangan lain, atlet kelahiran Sarawak Jonah Chang Rigan berjaya meraih pingat emas selepas meleburkan rekod acara lontar peluru dengan balingan sejauh 18.03m.

Ianya sekali gus memadamkan rekod seorang lagi atlet Thailand Patcharapol Singrueang, 16.76m yang dicipta tahun lepas.

Pingat perak pula menjadi milik atlet Thailand Bandit Singhatongkul dengan merekodkan 17.62m, manakala  Lee Jun Long Matthew dari Singapura membawa pulang gangsa dengan catatan 17.01m.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia menambah koleksi pingat emas menerusi Mohd Irfan Izzah dalam acara 110m berpagar lelaki. Atlet berusia 17 tahun dari Manjung, Perak itu mencatat masa 13.75s untuk meraih pingat emas, manakala peserta Singapura Marc Brian Louis (14.07s) dan atlet Thailand Suttipong Tongpech (14.38s), masing-masing memenangi perak dan gangsa.-Bernama