Tidak Perlu Panik dan Tertekan

 

SEPANG, 8 Nov  — Kekalahan skuad Harimau Malaya 2-0 di tangan Thailand pada perlawanan persahabatan di Bangkok semalam perlu dilihat secara positif kerana ia dapat memberi gambaran sebenar keupayaan skuad itu pada Kejohanan Piala AFF Suzuki pada 25 Nov ini.

Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal berkata anak buahnya tidak berasa panik dan tertekan dengan kekalahan tersebut malah yakin skuad Harimau Malaya akan menampilkan persembahan yang lebih baik apabila kejohanan peringkat kumpulan bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

“Jika kita melepasi peringkat kumpulan, ada kemungkinan kita bertemu Thailand di peringkat separuh akhir.

“Sekiranya kita tidak mengadakan perlawanan persahabatan ini, sudah pasti saya dan juga pemain tidak mengetahui corak permainan pasukan Thailand.

“Lebih baik kita kalah di sana (Thailand) berbanding kita kalah di laman sendiri semasa AFF Suzuki nanti,” katanya kepada pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Thailand hari ini.

Semalam, pasukan negara tewas 0-2 kepada pasukan bimbingan Winfried Schafer menerusi gol hasil jaringan Prayat Bunya pada minit ke-26 dan Artit Suthornphit minit ke-81.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut pasukan negara dalam tempo kurang seminggu selepas tunduk 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, Sabtu lepas.

“Dahulu masa perlawanan pertama kita tewas 5-1 kepada tuan rumah Indonesia tetapi lihatlah outputnya yang mana kita berjaya membawa pulang piala.

“Saya kenal pemain saya dan yakin mereka akan mempamerkan aksi lebih baik apabila bermain di laman sendiri nanti,” katanya.

Malaysia Akan Bermain Lebih Baik

 

Dalam pada itu, penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yakin walaupun kalah semalam, pasukan negara akan bermain lebih baik semasa perlawanan pembukaan nanti.

Malaysia, disenaraikan dalam Kumpulan B bersama Singapura, Indonesia dan Laos manakala Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Perlawanan Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok. Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir. Malaysia akan memulakan kempen mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi dua tahun lepas dengan menentang Singapura pada 25 Nov ini, diikuti Laos (27 Nov) dan Indonesia pada 1 Dis.- BERNAMA.