Format Pertandingan Diubah Untuk Lebih Saingan

 

Format pertandingan Etiqa Asean Cup yang diubah tahun ini dijangka bakal menyaksikan saingan yang lebih sengit antara pemain-pemain golf amatur terbaik di rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini kejohanan menggunakan format berpasukan 2 orang seperti penganjuran Piala Dunia. Namun untuk edisi ketiga kali ini, penganjur iaitu Persatuan Golf Malaysia (MGA) akan mengubahnya dengan setiap pemain akan bermain 36 lubang sebelum hanya 32 pemain terbaik layak ke peringkat seterusnya yang merangkumi 5 pusingan matchplay.

“MGA dengan kerjasama Etiqa berhasrat untuk memberikan peluang kepada bakat-bakat golf dirantau Asean terutamanya Malaysia beraksi dalam saingan yang lebih kompetetif. Justeru, penukaran format yang menyerupai format Kejuaraan Terbuka Amatur Amerika Syarikat dilihat sebagai langkah terbaik untuk mencapai objektif tersebut” jelas Datuk Mohamed Zain Yusuf, Naib Presiden MGA.

Zain yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Golf Asean turut menjangkakan penyertaan seramai 60 pemain golf amatur dengan 20 daripadanya adalah barisan terbaik 10 negara Asean manakala selebihnya dari Malaysia.

“Malaysia akan mempertaruhkan 2 pemain amatur terbaik negara; Low Khai Jei dan Abel Tham yang baru sahaja menamatkan saingan Kejohanan Amatur Asia di Thailand minggu lepas” tambah Zain lagi.

Zain ditemui dalam majlis sidang media pelancaran Etiqa Asean Cup 2012 yang turut dihadiri penaja, En.Kamaludin Ahmad selaku Ketua Pengarah Eksekutif Etiqa Insurance Berhad.

Kejohanan Etiqa Asean Cup 2012 ini akan berlangsung pada 26 hingga 30 November ini Kelab Golf Diraja Selangor.