Connect with:




Selepas tiga hari menjelajah di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Angka Tour anjuran Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) telah melabuhkan tirai semalam dengan Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi lokasi terakhir persinggahan.

Melalui kehadiran nama-nama besar sukan papan selaju seperti Arto Saari, Jack Curtin, Davis Torgeson, Margie Didal, Tom Karangelov, dan Jasper Dohrs yang beraksi bersama atlet-atlet kebangsaan, hari terakhir program berbentuk bengkel dan demonstrasi ini berjaya menarik lebih 200 pengunjung biarpun terpaksa mengharungi hujan lebat di sebelah petang.

Setiausaha Agung MESA, Dato’ Manjit Singh Gill berkata, MESA tidak akan berhenti untuk terus merencanakan program terbaik untuk atlet kebangsaan dan pelbagai lagi akan menyusul selepas ini.

Dia berkata, “Program Angka Tour ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat iaitu memberikan pendedahan kepada atlet kebangsaan yang berpeluang bermain papan selaju disamping pemain-pemain papan selaju profesional. Kehadiran penonton juga sangat memuaskan termasuklah ketika acara kemuncak “Skate Parade” sebentar tadi.

“Banyak program dan perancangan dari segi pembangunan serta latihan kepada atlet sedang diusahakan oleh MESA. Kami juga akan menghantar atlet ke luar negara selepas ini. Keutamaan MESA adalah bagi menghadapi Sukan Asia ketika ini dan saya harap atlet juga akan meneruskan usaha sekaligus berjaya mengharumkan nama Malaysia nanti,”katanya ketika ditemui di Dataran DBKL tadi.

Atlet kebangsaan, Zainul Mutaqien Marzuki berkata dia begitu menghargai usaha MESA yang membawakan pemain papan selaju profesional sebagai pendedahan kepada mereka.

Zainul berkata, “Buat masa ini kita memang tidak sabar untuk beraksi dalam Sukan Asia. Kami sedang gigih berlatih dan menjaga segala aspek pemakanan supaya kesihatan kami di tahap terbaik. Selepas ini, kami juga akan menjalani latihan lebih rapi sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia.

“Di Sukan Asia nanti, kita akan buat sedaya upaya untuk melayakkan diri beraksi di kejohanan sukan yang lebih tinggi selepas itu. Untuk Angka Tour, saya dan rakan-rakan atlet berterima kasih kepada MESA kerana penganjuran program ini dan mengharapkan MESA akan terus menaikkan martabat sukan selaju di negara ini,” kata atlet itu yang berasal dari Bintulu, Sarawak.

Selepas menjelajah Mont Kiara Park, Taman Cabaran Putrajaya dan PJ Arena pada hari pertama, Angka Tour turut ke Mydin Meru, Ipoh pada hari kedua program ini semalam dan mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan papan selaju di sana sebelum kembali ke Kuala Lumpur petang tadi.

Aktiviti yang dijalankan sebentar tadi bermula dengan skate secara beramai-ramai oleh pemain papan selaju profesional bersama atlet negara dan juga peminat-peminat papan selaju di sekitar ibu negara yang dinamakan sebagai “Skate Parade”. Kelompok pemain papan selaju ini meluncur kira-kira 1km dari Dataran Merdeka ke Dataran DBKL.

Di Dataran DBKL, pemain papan selaju profesional dan atlet-atlet negara beraksi menunjukkan demonstrasi sukan ini kepada orang ramai untuk memupuk minat masyarakat terhadap sukan ini yang telah disenaraikan dalam Sukan Asia 2018 dan juga Sukan Olimpik 2020.