Connect with:




Ada ura-ura mengatakan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) diberhentikan atas sebab-sebab tertentu. Namun, ianya hanyalah spekulasi semata-mata.

Penganjuran LTdL sebenarnya akan ditunda ke tarikh baharu bagi mengelakkan pertindihan dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang dijangkan berlangsung pada penghujung bulan depan.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu perbincangan telah diadakan dalam mesyuarat Kabinet yang bersetuju dengan penundaan LTdL ke suatu tarikh yang ditetapkan.

“Sebab utama kami tak nak ada dua program antarabangsa yang bertindih di Langkawi dan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pandang serius kedua-dua program ini LTdL dan LIMA’19 merupakan buah fikirannya dan mahu ia dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kami nak pastikan tarikan di peringkat antarabangsa ke Langkawi dapat dibahagikan kepada dua fasa,” katanya.

Baginya, kerajaan berusaha mencari inisiatif untuk mengembalikan zaman kegemilangan Lima’19 suatu ketika dahulu dengan mendapatkan liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa.

“Untuk liputan meluas media, kami dimaklumkan tak boleh buat (LTdL) sama masa dengan LIMA’19 kerana media akan tengok (buat liputan serentak) untuk kedua-dua acara.

“Stesen televisyen juga tidak mahu jadual yang bertindih antara kedua-dua program kerana mereka memerlukan helikopter dan dron untuk buat liputan tetapi kerana LIMA’19, ruang udara akan ditutup dan dikawal rapi,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah mengadakan pertemuan dengan penganjur dan persatuan berbasikal yang terbabit dengan LTdL bagi membincangkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan temasya berprestij itu.

Sebelum ini, LTdL pada tahun ini dijangka akan berlangsung pada 24 Mac hingga 31 Mac manakala LIMA’19 pula bermula pada 26 Mac hingga 30 Mac.- Bernama

Foto: BaikBike