LO

Kehadiran beberapa pemain berpengalaman menyaksikan Sime Darby FC optimis untuk meletakkan layak ke Liga Super 2014 sebagai sasaran mereka pada musim baru ini.

Antara pemain-pemain senior yang membarisi Sime Darby musim 2013 ini ialah Fadzli Saari, Syafiq Jamal, Yosri Derma Raju, Khairi Zainudin serta Juzaili Samion yang dilantik sebagai kapten baru pasukan.

Bagi Juzaili, dia berterima kasih kepada pengurusan pasukan yang mempercayai kebolehannya untuk menggalas tanggungjawab memimpin pasukan dan percaya sasaran yang diletakkan mampu dicapai.

“Sasaran layak ke Liga Super bukan sesuatu yang musthail. Kami akan fokus dari satu perlawanan hingga ke satu perlawanan” jelas Juzaili.

Nada yang sama turut disuarakan pengendali pasukan, Ismail Zakaria yang merasakan pasukannya mampu pergi lebih jauh lagi untuk musim baru ini.

“Berdasarkan persembahan pra-musim, saya boleh katakan pasukan kali ini adalah 30 hingga 40 peratus lebih baik dari pasukan musim lalu.”

Ismail turut diminta mengulas mengenai 2 pemain import baru Sime Darby dari Croatia iaitu Goran Perak serta Karlo Primorac yang pernah beraksi bersama Luka Modric bagi menggantikan penyerang berbisa Patrick Ronaldinho yang berhijrah ke PKNS Selangor.

“Patrick memang banyak menyumbang kepada kejayaan kita musim lepas terutamanya dalam saingan Piala FA. Namun kita terpaksa melepaskannya kerana dia banyak terikat untuk beraksi dengan pasukan kebangsaannya

“Walaubagaimanapun saya percaya, Goran dan Karlo mempunyai kualiti untuk bersaing di Liga Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai pengalaman yang luas di Croatia” kata Ismail.

Juzaili dan Ismail ditemui ketika majlis pelancaran pasukan Sime Darby FC untuk musim 2013 di Pusat Konvensyen Sime Darby yang turut dihadiri Presiden Sime Darby FC, YAM Tengku Datuk Seri Ahmad Shah.

lo2

Dari kiri: Ismail Zakaria (ketua jurulatih Sime Darby FC), YAM Tengku Datuk Seri Ahmad Shah (Presiden Sime Darby FC) dan Juzaili Samion (ketua pasukan Sime Darby FC)

 

Ahmad dalam ucapannya yakin Sime Darby mampu mencabar kejuaraan Liga Premier sekaligu layak ke Liga Super 2014 jika melihat kepada prestasi pemain-pemain baru yang diserapkan kedalam pasukan.

“Musim lepas kita banyak keciciran mata dibelakang ATM dan Pahang akibat seri walaupun sebenarnya kita mampu menang perlawanan tersebut. Jadi dengan adanya 2 pemain import berkualiti dari Croatia ditambah beberapa pemain berpengalaman yang pernah beraksi di Liga Super, saya percaya kita ada peluang untuk merealisasikannya musim ini.

“Namun dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh memandang rendah keupayaan saingan pasukan lain terutamanya pasukan Kedah, Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak”, kata Ahmad yang juga merupakan pengurus pasukan.

Kempen Sime Darby musim 2012 menyaksikan pasukan ini menghuni tangga ketiga liga selain layak ke peringkat kumpulan Piala Malaysia. Sime Darby turut mencipta sejarah menjadi kelab pertama beraksi di pentas final Piala FA tahun lalu.