Kemenangan di Sepang Ahad lalu hanyalah kemenangan kedua Max Verstappen dalam karier Formula 1 yang mula disertainya pada 2014.

Podium pertama dimiliknya pada perlumbaan di Catalunya tahun lalu yang juga merupakan kemenangan pertamanya. Selepas itu, Max berjaya menaiki podium sebanyak 7 kali sebelum memenangi perlumbaan di Sepang.

Walaupun dilihat sukar untuk mencabar kejuaraan dunia namun Max dilabelkan sebagai pemandu yang cukup hebat. Baru berusia 20 tahun (beliau menyambut harijadinya sehari sebelum perlumbaan), Max sebenarnya hanya menunggu untuk dijulang sebagai juara dunia.

Kenyataan tersebut diakui ramai pemerhati sukan permotoran seluruh dunia. Bagaimanapun tidak ramai yang tahu, Max menjadi bintang hari ini hasil dari ‘penderaan’ dari bapanya, Jos Verstappen.

Jos merupakan bekas pemandu F1 dari Belanda yang pernah memandu untuk pasukan Minardi. Jos sememangnya dikenali sebagai seorang yang panas baran – pernah didakwa memukul bekas isteri selain cubaan membunuh dengan melanggar teman wanitanya.

Jos berkahwin dengan Sophie Kumpen, seorang pemandu gokart. Perkahwinan mereka dikurniakan dua zuriat iaitu Max dan juga seorang anak perempuan iaitu Victoria yang turut berlumba sebagai pelumba gokart.

Max mula berlumba dalam siri gokart bermula ketika usia 4 tahun. Bapanya memperkenalkan Max dengan dunia perlumbaan selepas melihat anaknya itu begitu berminat dengan permainan kereta.

Bunyi seperti Jos seorang bapa yang penyayang.

Bagaimanapun sebenarnya, Jos mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anaknya menjadi pelumba yang hebat. Cara tersebut sangat ekstrem.

Pernah satu ketika dalam satu perlumbaan go kart, Max mendahului perlumbaan namun pada beberapa pusingan terakhir, beliau melakukan kesilapan sehingga menyebabkan jenteranya berpusing. Max masih mampu menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Selepas perlumbaan tersebut, Jos menuju berjumpa dengan anaknya dan yang mengejutkan, dia menumbuk anaknya di bahagian dada kerana terlalu geram melihat Max membuat kesilapan.

Itu antara proses pembelajaran yang ditempuh Max yang sememangnya agak ekstrem. Walaubagaimanapun, Max tetap meletakkan ayahnya sebagai idola dan pendokong utama dalam karier perlumbaannya.

Dengan baki 5 perlumbaan lagi, Max kini memburu pengakhiran yang terbaik. Beliau kini menduduki tangga keenam hasil kutipan 93 mata.

 

Foto Kredit: Redbull Pool