PARIS: “Satu daripada impian terbesar saya adalah menyertai Manchester United. Jika Dortmund berkata saya cukup bagus, saya akan teruskan dan berlatih bersungguh-sungguh. Itulah luahan , jaguh pecut Usain Bolt masih berharap dapat menjadikan impiannya sebagai pemain bola sepak profesional satu kenyataan apabila menjalani sesi ujian bersama pasukan liga utama Jerman, Borussia Dortmund.

Bagaimanapun juara dunia dan Olimpik itu mengakui lebih berminat menyertai pasukan kegemarannya Manchester United.

“Kami akan menjalani ujian dengan Dortmund Mac ini dan ia akan menentukan hala tuju saya dalam sukan ini,” kata pemegang rekod dunia berusia 31 tahun itu kepada Sunday Express.

“Jika mereka kata saya bagus dan perlukan latihan, saya akan lakukannya.

“Ia membuatkan saya gementar. Saya tidak rasa gementar sebelum ini tapi kali ini berbeza, kerana ini adalah bola sepak. Saya akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri tapi sebaik saya bermain beberapa kali, saya akan dapat membiasakan diri.”

Bolt dan Dortmund berkongsi penaja yang sama iaitu Puma dan sesi ujian dengan pasukan Bundesliga itu diatur syarikat pengeluar pakaian sukan itu.

“Saya ada bercakap dengan (bekas pengurus United) Alex Ferguson dan memintanya memberikan sokongan. Beliau memberitahu saya jika saya cergas dan bersedia, beliau akan lihat apa yang boleh dilakukannya.” katanya.

Sumber: AFP

Foto Kredit: cnn.com