Connect with:




Kelab Badminton Sports Affairs dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia hari ini melancarkan Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah. Program pembangunan dan kejohanan badminton yang diiktiraf di peringkat kebangsaan ini akan diuruskan oleh Ketua Jurulatih Kelab merangkap Pengarah Program ini, Rashid Sidek, bekas pemain badminton utama dunia yang juga sebahagian daripada pasukan kebangsaan yang menjulang Piala Thomas pada 1992.Dirasmikan oleh Ramona Binti Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) dari Kementerian Belia & Sukan, Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah adalah satu tanda penghormatan kepada penyokong sukan badminton Malaysia yang amat dihargai, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah yang turut menghadiri acara perasmian pada hari ini.Platform ini menghimpunkan lapan legenda badminton Malaysia untuk mencari, melatih, dan mengasah bakat juara masa hadapan badminton negara.Ramona berkata “Kami di Kementerian Belia dan Sukan menyokong penuh inisiatif Program Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah kerana ia menyediakan laluan untuk mengenal pasti pemain-pemain badminton berpotensi yang baru. Saya percaya bahawa program ini adalah sebuah platform yang baik dalam mencari dan memberi peluang kepada belia di luar sana untuk mengasah bakat dan kemahiran untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi”.Lapan legenda yang akan mengemudi Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah ini terdiri daripada bekas ahli skuad Piala Thomas dan skuad Olimpik Malaysia yang merentasi beberapa generasi berbeza: Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.Mereka akan membentuk lapan pasukan dengan 12 orang pemain dalam setiap pasukan. Lapan pasukan ini akan berentap di kejohanan akhir Piala Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah yang akan berlangsung pada Disember 2019.Pemain-pemain yang berpotensi akan dipilih berdasarkan cadangan serta penilaian daripada persatuan-persatuan badminton negeri dan kelab badminton yang aktif dari serata tanah air.Legenda-legenda ini juga boleh mencadangkan pemain pilihan mereka sendiri untuk program ini. Pemain-pemain yang dipilih mestilah terdiri daripada mereka yang berada di luar lingkaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS).Rashid Sidek, Ketua Jurulatih Kelab merangkap Pengarah Program berkata “27 tahun telah berlalu sejak kita menjulang Piala Thomas pada 1992. Saya amat teruja untuk melaksanakan program ini yang akan mengenal pasti bakat-bakat baru yang berpotensi, serta menilai semangat dan komitmen mereka terhadap sukan ini, terutamanya kesungguhan mereka untuk muncul sebagai juara.”Platform ini akan memberi peluang kepada pemain badminton yang bercita-cita tinggi di luar sana sekaligus memupuk minat golongan muda terhadap sukan kebangsaan kita. Badminton bukanlah tentang merangkul kemenangan semata-mata. Ia juga menyatukan kita apabila kita bersama-sama meraikan semangat kesukanan dan nikmat mengecapi kemenangan”.“Menamakan kejohanan ini sempena nama wanita pertama sukan badminton Malaysia adalah langkah yang tepat kerana tiada lagi orang lain yang memberikan sokongan yang amat padu kepada badminton Malaysia seperti Tun Dr. Siti.Kemenangan Piala Thomas pada 1992 yang membanggakan sejarah sukan negara kita masih lagi segar dalam ingatan.Kenangan melihat Tun Dr. Siti mengibarkan Jalur Gemilang dan meraikan setiap perlawanan adalah satu simbolik kepada hari tersebut”, tambah Rashid.Raezal Hussein, Presiden Kelab Badminton Sports Affairs yang turut hadir pada majlis pada hari ini berkongsi hasrat beliau,“Kami berhasrat untuk melatih pemain-pemain badminton yang bercita-cita tinggi dalam lima kategori: perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu perempuan. Pada tahun pertama ini, kami akan mengadakan klinik bimbingan dan menjelajah ke seluruh negara sehingga penghujung November 2019 bagi mengenal pasti lebih ramai pemain-pemain yang berpotensi. Negeri-negeri yang akan dikunjungi adalah Kedah, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur – demi mendidik dan mencambahkan minat terhadap badminton di kalangan golongan muda.”Pada penghujung majlis, Raezal merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Apacs Sports Sdn Bhd, yang merupakan penaja rasmi alatan sukan program Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta Persatuan Badminton Malaysia di atas pengiktirafan dan sokongan padu terhadap inisiatif ini.Turut hadir pada perasmian ini adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria dan Pengarah Urusan APACS Sports Sdn Bhd, Jessica Lim.Maklumat lanjut tentang jurulatih dan format Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah boleh dirujuk dalam risalah yang dilampirkan atau lawati www.sportsaffairs.com.my .