Skuad hoki negara mengganas apabila membenam China 7-1 di Stadium Hoki Antarabangsa Maulana Bhashani, Dhaka ,Bangladesh semalam.

Itu merupakan amaran awal kepada kumpulan lain bahawa skuad negara komited untuk muncul juara Piala Asia 2017.

China dihujani gol dari skuad hoki negara.

Jaringan seawal minit ke-12 oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil merupakan titk permulaan bagi kemenangan bergaya buat “Speedy Tiger”.

Faizal Saari pula menggandakan jaringan lima minit kemudian, diikuti jaringan penjaring pertama pada minit ke-19, menerusi gol padang.

Kesengsaraan China ditambah lagi dengan jaringan keempat sebaik separuh masa kedua bermula menerusi Faizal.

Tekanan buat pasukan China untuk menempah slot ke Piala Dunia 2018 di India menerusi kejohanan itu ditambah dua gol menerusi Muhammad Shahril Saabah (m-35) dan Faizal (m-41).

Sementara itu, gol tunggal China dijaringkan E Wenhui pada m-56.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen tidak memberi muka terhadap pasukan China apabila Muhammad Ramadan Rosli menambah mata jaringan pada minit terakhir.

Kemenangan besar lagi bergaya itu merupakan perlawanan pertama Malaysia dalam kumpulan B.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan esok pada jam 7.30 malam.- Sinar Harian

Foto Kredit: Twitter (Asean Hokey)