Connect with:




Peminat pasukan bola sepak Kedah terus berteka-teki mengenai masa depan dua tonggak senior mereka, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari yang mungkin tiada dalam perancangan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) musim 2019.

Beberapa hari lalu tersebar di media sosial mengenai makluman pengguguran lima pemain import skuad Helang Merah serta dua tonggak penting iaitu Badd dan Keon turut berada dalam senarai pemain yang digugurkan dari pasukan yang berpangkalan di Utara Tanah Air itu.

Kenyataan itu nyata menggusarkan para peminat Kedah yang terkejut dengan khabar pengguguran dua ‘otai’ Kedah itu dan mengharapkan penjelasan sebenar daripada pengurusan KFA.

Namun begitu, wakil jurucakap Kelab-Kelab Penyokong Kedah yang juga Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri berkata status mengenai dua pemain senior itu ditimbulkan atas tujuan mendapat perhatian di media sosial sedangkan belum ada keputusan rasmi dari KFA sendiri mengenai hal tersebut.

“Kami minta semua pihak terutama sekali para penyokong untuk kekal tenang dan menanti pengumuman yang akan dilakukan KFA sendiri nanti.

“Setiausaha Kehormat KFA telah memaklumkan tarikh mesyuarat exco pada 7 November ini (Rabu) dan Aidil Sharin, bakal jurulatih musim 2019 dan pembantunya, Victor Andrag akan membentangkan segala persiapan pasukan Liga Super Kedah bagi musim 2019.

“Jadi saya harap semua penyokong tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar ini danbiarlah KFA sendiriyang membuat pengumuman sah selepas berunding dengan panel kejurulatihan yang baru,” kata Safarizal.

Seluruh peminat Kedah masih berteka-teki mengenai status semua pemain tempatan Kedah bagi musim 2019 kerana belum ada pengumuman rasmi dari pihak KFA mengenai keputusan akhir yang diambil pihak pengurusan.

 

Foto : Facebook Kedah FA-Persatuan Bolasepak Kedah

Sumber : KedahFA.my