Connect with:




Suasana 25 000 penonton di Stadium Kedah Darul Aman nyata gamat apabila Kedah berjaya meledak dua gol sekali gus muncul juara sulung Piala Unity Shield.

Awal babak perlawanan menyaksikan jentera serangan Perak dilihat garang mengasak benteng pertahanan Lang Merah namun gagal menjaringkan sebarang gol pembukaan.

Percubaan dari luar kotak penalti oleh pemain import Perak, Leandro Dos Santos Oliveira pada minit kelapan nyaris meletakkan Bos Gaurus di hadapan namun tendangan tersebut hanya melewati palang.

Kedua-dua pasukan kelihatan buntu selepas gagal mencipta sebarang jaringan hingga tamat babak pertama.

Selepas rehat, kubu pertahanan pelawat goyah dengan serangan bertali arus dari tuan rumah sehingga Kedah berjaya mencetak gol pertama nenerusi Fernando Rodriguez Ortega pada minit 67.

Tanpa melengahkan masa, Kedah terus bijak  mengasak benteng pertahanan Perak dan akhirnya pemain gantian, Syahrul Azwari Ibrahim menanduk masuk hantaran lintang Rizal Ghazali selang sembilang minit kemudian.

Perak yang ketinggalan 0-2 terus mencari peluang untuk merapatkan kedudukan namun penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim tangkas mematahkan asakan lawan sehingga akhir perlawanan.

Edisi sulung ini merupakan idea daripada Menteri Besar Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),  melambangkan perpaduan antara kedua-dua badan induk bola sepak itu akan menjadi acara tahunan yang berlangsung antara di Ipoh dan Alor Setar.

Foto: Official Kedah FA