Pengendali kebangsaan, Datuk K.Rajagobal tetap optimis Malaysia mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2012 walaupun sedar bakal menerima cabaran besar pada perlawanan kedua separuh akhir di Bangkok nanti.

Keputusan 1-1 yang dicatat di Bukit Jalili bermakna Thailand sudah mempunyai kelebihan gol di tempat lawan. Ini bermakna Harimau Malaya perlu menjaringkan gol di Bangkok nanti untukĀ  mengelakkan dari tersingkir.

Gary Steven Robert cuba melepasi kawalan pergerakan pemain Thailand

 

“Secara keseluruhan, saya bangga dan agak terkejut dengan aksi cemerlang pemain walaupun kita sepatutnya menang dengan jaringan sekurang-kurangnya 3-1” kata Rajagobal selepas sidang akhbar.

“Beberapa pemain mengalami kecederaan semasa perlawanan tadi dan saya akan minta nasihat ahli fisioterapi pasukan sebelum menamakan pemain pada perlawanan separuh akhir kedua nanti,” katanya lagi ketika diminta mengulas mengenai persiapan menjelang aksi di Bangkok nanti.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Winfried Schafer yang diminta meninggalkanĀ  padang pada minit ke-81 menyalahkan barisan pemain tengahnya yang sering melakukan kesilapan sehingga memberi peluang kepada Malaysia menjaringkan gol.

“Walaubagaimanapun, saya tetap bangga dengan peningkatkan prestasi pemain pada babak kedua dan saya berharap kita boleh mara ke final,” kata Schafer.

Dalam perlawanan tersebut, tiada sebarang jaringan dihasilkan pada babak pertama. Hanya 4 minit bermula separuh masa kedua, Norshahrul Idlan Talaha berjaya mencetak gol untuk Malaysia melalui tandukan mengelirukan hasil hantaran cantik Mahali Jasuli.

Kemasukan Safee Sali di babak kedua gagal menambah gol buat Harimau Malaya

 

Thailand bagaimanapun berjaya membawa bekalan 1 gol ke Bangkok pada minit ke-79 selepas penyerang sensasi Teerasil Dangda menanduk masuk umpanan rakan sepasukan untuk menewaskan Farizal Marlias.

Perlawanan kedua separuh akhir Thailand-Malaysia akan diadakan di Stadium Supachalasai, Bangkok Khamis ini.