Malaysia diundi bersama Korea dan Hong Kong dalam Kumpulan D, Pusingan Kelayakan Piala Thomas 2012 bermula 13 Februari ini. Melihatkan keputusan undian ini, laluan getir bakal menanti barisan pemain badminton negara di Macau nanti.

Ini kerana, skuad negara perlu menamatkan peringkat kumpulan sebagai juara dengan menewaskan Korea bagi mendapat laluan lebih selesa dan mengelak bertemu Indonesia di peringkat seterusnya. Indonesia pastinya mudah menjuarai Kumpulan B apabila diletakkan bersama India, Macau dan Singapura.

Semua sudah maklum mengenai senarai skuad Piala Thomas negara dan ketika ini mereka sedang menjalani latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara. Selain pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei, turut tersenarai adalah Muhd Hafiz Hashim, Liew Darren, Muhd Arif Latiff untuk perseorangan, manakala Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong, Lim Khim Wah-Goh V Shem serta Hoon Thien How dan Teo Kok Seang untuk beregu.

Melihat pada rekod pertemuan terkini antara pemain Malaysia dengan Korea dan Hong Kong, satu peningkatan drastik perlu dilakukan para pemain. Samaada tingkatkan prestasi masing-masing atau bersiap sedia untuk bungkus lebih awal.

Kelebihan Korea terletak pada gandingan beregu utama mereka yang lebih konsisten dan terbukti mengatasi kemampuan beregu utama negara. Kien Kiat-Boon Heong belum pernah menewaskan Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dalam beberapa pertembungan terbaru mereka.

Sementara untuk aksi perseorangan, rekod masih seimbang walaupun pertemuan terkini lebih memihak kepada mereka. Jadi, skuad negara perlu mengambil peluang sebaiknya dalam aksi perseorangan dan sekiranya beregu negara berjaya mencuri satu mata, ia adalah satu bonus.

Manakala rekod bertemu Hong Kong, sedikit membimbangkan apabila perseorangan kedua dan ketiga negara, Hafiz Hashim dan Liew Darren belum pernah menang dalam dua pertemuan masing-masing menentang Hu Yan dan Chan Yan Kit, perseorangan kedua dan ketiga terbaik Hong Kong yang mungkin ditentang mereka nanti.

Kelebihan skuad negara ada pada pasangan beregu negara yang dilihat lebih baik berbanding beregu dari Hong Kong. Dan tentunya perseorangan utama negara, Lee Chong Wei turut tiada masalah untuk mengatasi perseorangan utama mereka, Wong Wi Ki.

Melihatkan situasi tersebut, mungkin skuad negara memerlukan sentuhan ajaib untuk layak. Prestasi semasa memberi sedikit gambaran awal yang Malaysia bukan lagi pilihan utama untuk layak, malah terpaksa berebut slot dengan pasukan-pasukan yang lebih kerdil.

Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menggesa agar skuad negara melakukan sehabis baik agar layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Wuhan, China, Mei depan.

“Gagal layak ke pusingan akhir akan mencalar sejarah kegemilangan badminton negara, serta mencemar reputasi baik kita di peringkat antarabangsa. Kita perlu atasinya dengan apa cara sekalipun,” menurut Rashid yang jelas mahu status skuad negara kekal dihormati lawan.

Mengikut analisis kasar, tiga tiket sudah pasti menjadi milik Korea, Jepun dan Indonesia yang jelas memiliki barisan skuad lebih baik. Manakala, satu lagi slot dilihat bakal direbut antara skuad negara bersama pasukan kurang ternama seperti Taiwan, India dan Thailand.

Dalam pada itu, Lee Chong Wei dipetik berkata, skuad negara perlu mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi kerana baginya, Piala Thomas adalah acara berpasukan dan bukannya acara individu. Dia sebelum ini turut menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab mengetuai skuad negara kali ini.

“Saya wajib mendapatkan mata, ia penting untuk menjulang semangat rakan sepasukan terutamanya beregu pertama yang akan turun selepas perlawanan saya,” ujar Chong Wei ringkas.