Oleh : Muhammad Al Zaem
Foto : Azhari Mohd Yusof & Norazmi Ibrahim

Bagaikan mendapat tonik selepas pengunduran K. Devan sebagai jurulatih, Selangor kembali dalam persaingan Piala Malaysia selepas sah layak ke suku akhir malam tadi. Pengganti beliau, P. Maniam tampak mempunyai ramuan tersendiri apabila melakukan sedikit perubahan pemain dan taktikal selepas mengambil alih jawatan tersebut dalam baki 2 perlawanan peringkat kumpulan.

Selangor bangkit untuk menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam walaupun pada awal babak pertama mereka ketinggalan dengan jaringan kapten Kuala Lumpur, Mohd Shahrom Kalam pada minit ke 37. Gol Selangor pula diperolehi pada babak kedua hasil jaringan pemain pertahanan, Razman Roslan (64’) dan Amri Yahya (75’), kedua-duanya bermula daripada gerakan Safiq Rahim.

Kedah pula gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri dalam persaingan merebut slot ke suku akhir dalam Kumpula A. Mereka diikat 1-1 oleh pasukan kendalian Norizan Bakar dan tidak cukup untuk melangkah ke pusingan seterusnya apabila Sabah tampil gah menumbangkan Johor di Stadium Larkin 4-1 hasil jaringan Razlan Otto, Rozaimi Abdul Rahman, Mohd Radzi Hussin dan Farid Ideris. Sabah dijadualkan akan bertemu T-Team di peringkat suku akhir nanti.

T-Team muncul juara Kumpulan D dengan kemenangan bergaya 6 gol tanpa balas ke atas PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tertunda hampir sejam akibat angin kuat dan hujan lebat di Kuala Terengganu, sedikit sebanyak mengganggu rentak perlawanan merebut kejuaraan Kumpulan B antara Negeri Sembilan dan Terengganu. Tiada jaringan mampu dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dan ini membolehkan Negeri Sembilan kekal meneraju Kumpulan B dan akan bertemu naib juara Kumpulan C iaitu Felda United di peringkat suku akhir.

Norshahrul Idlan Talaha menyumbat dua gol untuk memberikan kemenangan selesa Kelantan ke atas Felda United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu. Kemenangan ini membolehkan Kelantan menjuarai Kumpulan C dan bakal bertemu musuh Pantai Timur mereka, Terengganu di suku akhir nanti. Jelas sekali, pasukan yang dibimbing M. Karathu ini terpaksa berdepan Terengganu lebih awal daripada jangkaan awal pertemuan mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini.

Lain-lain keputusan adalah, PKNS FC menumpaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Selayang manakala Johor FC mengatasi Sarawak dengan keputusan 3-1 di Stadium Pasir Gudang.